PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menerima cenderahati daripada masyarakat Orang Asli pada lawatan kerja ke pusat penyelidikan Tasik Chini. FOTO Farizul Hafiz Awang
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menerima cenderahati daripada masyarakat Orang Asli pada lawatan kerja ke pusat penyelidikan Tasik Chini. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Pekan: Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini yang diwujudkan kerajaan menjadi asas kukuh dalam memulihara dan memelihara tasik itu sebagai Rizab Biosfera UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) pertama di Malaysia.

Kompleks yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini, adalah sebahagian daripada Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang berperanan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengawasan mutu air di tasik itu.

Inisiatif pembinaan kompleks makmal itu terdiri daripada tiga bangunan iaitu Makmal Hidrologi dan Klimatologi, Makmal Instrumen dan Mikrobiologi serta Makmal Analisis Air.

Dalam lawatan kerja kira-kira sejam itu, Najib turut bersama masyarakat Orang Asli, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menanam 350 pokok di sekitar PPTC sebagai komitmen ditunjukkan kerajaan dalam membantu mengurangkan paras karbon dioksida.

Lawatan kerja yang disertai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu turut melepaskan anak ikan ke dalam Tasik Chini yang menjadi simbolik meningkatkan mutu air di kawasan tasik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 5:07 PM