Rombongan  Wan Junaidi meninjau kualiti air di Tasik Chini, semalam.
Rombongan Wan Junaidi meninjau kualiti air di Tasik Chini, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Pekan: Tasik Chini masih ‘bernafas’ dan tidak mati seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya kitaran ekosistemnya juga semakin baik.

Malah, tiada aktiviti pembalakan dan pelombongan dijalankan di kawasan tasik berkenaan ketika ini yang menjadi punca pencemaran.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan mengambil alih pemuliharaan tasik berkenaan selepas diwartakan sebagai Tapak Rizab Biosfera pada 2009 dan kualiti airnya menunjukkan perubahan positif setiap tahun.

“Sebelum itu kualiti airnya berada pada tahap empat namun ia bertambah baik setiap tahun sehingga berada pada tahap satu dan dua.

“Isu pencemaran di tasik itu berpunca akibat limpahan air Sungai Pahang setiap kali musim tengkujuh menyebabkan airnya keruh,” katanya selepas lawatan kerja ke Tasik Chini, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, satu Jawatankuasa Khas ditubuh bagi memantau pelaksanaan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini pada Mac tahun lalu.

“Jawatankuasa itu diketuai kementerian dibantu agensi berkaitan bagi memantau kualiti air, penguatkuasaan, pemuliharaan dan kesedaran awam.

“Kualiti air di 15 stesen di tasik berkenaan juga semakin baik mencapai tahap satu dan dua. Saya yakin sasaran memperoleh kualiti air pada tahap satu di semua stesen menjelang 2019 tercapai,” katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk mewujudkan zon penampan, menukar pintu air dari Sungai Pahang yang lebih fleksibel dan menternak ikan atau labi-labi untuk Orang Asli di kawasan sekitar.

“Kami terus bersama kerajaan negeri meneruskan komitmen memastikan kelestarian Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera supaya terus terpelihara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:03 AM