TINJAUAN kawasan sekitar Tasik Chini, 10 Jun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
TINJAUAN kawasan sekitar Tasik Chini, 10 Jun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) sentiasa konsisten ke arah memulihara dan memelihara kelestarian alam sekitar Tasik Chini, Pekan.

Berdasarkan laporan PPTC, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah Program 'Man and Biosphere UNESCO' (Manusia dan Biosfera UNESCO) diiktiraf pada Mei 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia berlandaskan tiga teras utama.

"Tiga teras itu ialah pemuliharaan daripada aspek ekosistem, landskap, spesies dan kepelbagaian genetik; sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan, pemonitoran dan pembelajaran serta pembangunan yang merujuk kepada pembangunan ekonomi setempat dan pembangunan modal insan.

"Bagi menyokong dan menjayakan tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan yang merupakan kawasan yang mempunyai fungsi yang berbeza.

"Penubuhan PPTC adalah khusus untuk menjalankan penyelidikan, pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat pengurusan tasik secara bersepadu," menurut laporan dikeluarkan PPTC, hari ini.

Laporan itu menjelaskan bahawa Kerajaan Pahang memperuntukkan tanah seluas 8.1 hektar di pinggir Tasik Chini untuk penyelidikan dan pembelajaran selain membantu usaha pemuliharaan, pemeliharaan serta kelestarian Tasik Chini.

PPTC juga memaklukan hubungan antara Kerajaan Pahang dan UKM dengan penubuhan PPTC sejajar dengan keperluan pelaksanaan dasar yang terkandung di bawah Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050.

Katanya, ia juga termasuk dalam Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini 2018 ke arah pembangunan mampan dan pemuliharaan Tasik Chini sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

"UKM melalui PPTC memberi komitmen tinggi kepada Kerajaan Pahang dalam bentuk penyediaan kepakaran dan kewangan demi usaha pemuliharaan melalui penyediaan Pelan Perlaksanaan Strategik bersama-sama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang digunakan dalam Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini.

"Selain itu, pembinaan stesen 'real-time monitoring' (pengawasan masa nyata) ke atas kualiti air di sungai-sungai pembekal di Tasik Chini dapat membantu dalam aspek pemantauan kualiti air dengan lebih berkesan.

"Beberapa projek pemuliharaan dijalankan bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM).

"Antara projek pemuliharaan ini termasuklah aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri ikan serta pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini, pemuliharaan teratai serta latihan dan kesedaran alam sekitar kepada komuniti tempatan," katanya.

Menurut laporan itu, penyelidikan translasi juga dilaksanakan dengan menyumbang semula hasil dapatan penyelidikan dalam bentuk program kesedaran, modul pembelajaran dan latihan kepada masyarakat tempatan.

Katanya, ia bertujuan untuk membantu membangunkan status sosioekonomi dan taraf pendidikan masyarakat tempatan khususnya masyarakat Orang Asli yang mendiami sekitar Tasik Chini di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput.

"Usaha ini telah berjaya mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kebudayaan di sebahagian besar kawasan Tasik Chini dan akan diteruskan bagi memastikan keseluruhan kawasan Tasik Chini terus dipulihara dan terpelihara alam sekitarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 10:42 AM