MOHAMAD Fathi mahu ibu memanggilnya Haji Lu’lu.
MOHAMAD Fathi mahu ibu memanggilnya Haji Lu’lu.
LATIHAN tawaf mengelilingi replika Kaabah.
LATIHAN tawaf mengelilingi replika Kaabah.
PROGRAM Simulasi Haji Cilik bantu tingkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap ibadat haji.
PROGRAM Simulasi Haji Cilik bantu tingkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap ibadat haji.
Erdiehazzuan Ab Wahid

Program Simulasi Haji Cilik adalah satu langkah bijak, menarik dan kreatif dalam memberi pendedahan awal secara praktikal kepada kanak-kanak berkaitan Rukun Islam kelima.

Hasil kajian yang dilakukan pakar neurologi mendapati 80 hingga 85 peratus perkembangan otak manusia paling laju berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak.

Justeru, Program Simulasi Haji Cilik sangat sesuai bagi penyertaan pelajar Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) secara amnya.

Program anjuran bersama Persatuan Tadika Islam Sabah (PERTIS), Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Lembaga Urusan Tabung Haji Sabah itu adalah program julung kali diadakan bertempat di Masjid UMS.

Meskipun baru pertama kali diadakan di Sabah, Program Simulasi Haji Cilik itu berjaya menarik penyertaan lebih 30 tadika seluruh Sabah membabitkan 500 peserta berusia enam tahun.

Proses haji mengikut rukun haji sebenar dimuatkan dalam modul ini dengan meletakkan tujuh ‘checkpoint’ seperti bahagian Imigresen, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah, melontar tiga Jamrah, bertahalul, saie dan tawaf.

Peserta lengkap berpakaian ihram turut dibekalkan dengan pasport dan diiringi mutawif bertugas.

Replika Kaabah turut disediakan bagi menambahkan kefahaman peserta cilik. Pengalaman sepanjang program ini pasti meninggalkan kenangan terindah kepada kanak-kanak di samping perkongsian ilmu yang menarik.

Keriangan kanak-kanak lengkap berpakaian ihram jelas terpancar pada wajah mereka termasuk ibu bapa masing-masing yang menyaksikan gelagat lucu anak mereka ‘mengerjakan’ ibadat haji.

Lebih menarik apabila rata-rata peserta cilik berkenaan mahu dipanggil dengan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ selepas ‘me­ngerjakan’ Rukun Islam kelima itu walaupun tahu ia hanya latihan.

Peserta dari Tadika Al-Hadanah Al-Islamiah, Mohamad Fathi Darwisy Wasli, 6, berkata, dia mahu dipanggil Haji Lu’ apabila selesai melaksanakan simulasi haji bersama rakannya yang lain.

Mohamad Fathi Darwisy, yang mesra dengan panggilan Lu’lu, mengakui teruja melaksanakan haji secara simulasi itu dan berharap dapat berpeluang ke Makkah apabila dewasa kelak.

Ibunya, Bujiah Rohimin, 34, berkata, Lu’lu sentiasa membuat latihan di rumah sebagai persediaan menyertai program itu.

“Di rumah dia suka berpakaian ihram dan kerap meminta dirakam gambarnya dengan pakaian itu.

“Untuk ke program (simulasi) ini, dia bangun awal dan kami sampai di tadika seawal jam 6.30 pagi lagi sebelum bergerak bersama-sama ke Masjid UMS,” katanya.

Katanya, anaknya itu juga meminta semua anggota keluarganya memanggilnya Haji Lu’lu selepas selesai program simulasi itu.

Pada majlis perasmian program berkenaan, Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata, program simulasi itu dapat mengajar kanak-kanak secara teori dan praktikal mengenai suasana umat Islam mengerjakan haji di Makkah.

“Saya menyarankan kepada semua pihak sama ada kerajaan atau swasta untuk berganding bahu menganjurkan pelbagai program berbentuk latihan dan pendidikan kepada setiap peringkat lapisan rakyat supaya kita dapat mewujudkan budaya ilmu dan masyarakat yang berilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 1:38 PM