Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 529 jemaah kecil daripada 20 cawangan Pusat Pendidikan Awal Little Caliphs di Kelantan mengikuti progran Simulasi Haji Cilik 2018 bagi memberi pendedahan awal secara praktikal kepada kanak-kanak berkaitan Rukun Islam kelima.

Program tahun kedua yang diadakan itu dibimbing oleh 56 guru yang bertindak sebagai mutawif untuk memberi pendedahan sebenar suasana sebelum dan ketika menunaikan rukun Islam kelima kepada kanak-kanak bagi memberi pengetahuan dan latihan praktikal kepada mereka.

Program yang bermula pada 8.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu memerlukan semua peserta memakai pakaian ihram supaya mereka merasai pengalaman sebenar mengerjakan haji.

Pengarah program, Nik Annuar Fathi Nik Hassan berkata, kanak-kanak di Little Caliphs didedahkan dengan asas pendidikan agama seawal usia mereka empat tahun lagi

Bagaimanapun, katanya, simulasi yang dianjurkan hari ini membabitkan kanak-kanak yang berusia enam tahun agar mereka memahami keadaan sebenar menunaikan haji, sekali gus menanam keazaman untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

"Jika sebelum ini kebanyakan kanak-kanak menghantar ahli keluarga mereka seperti datuk dan nenek untuk mengerjakan ibadah haji, namun hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tujuan dan cara sebenar mengerjakan haji.

"Program ini juga dilaksanakan serentak hari ini membabitkan 10,264 kanak-kanak Little Caliphs di seluruh negara.

"Saya berharap simulasi ini dapat menanam semangat serta kefahaman mereka mengenai konsep dan amalan ibadah haji terutamanya kebesaran Allah SWT," katanya dalam sidang media selepas program Simulasi Haji 2018 yang dirasmikan oleh Pengarah Penyiaran Negeri Kelantan, Noriani Mohd Idris, di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, peserta Sofea Nadhira Mohd Shahmin, 6, berkata dia gembira kerana dapat menjadi 'jemaah haji' dengan bantuan guru.

"Guru ajar pergerakan untuk buat haji sehingga kami faham," katanya.

"Selalunya saya melihat di televisyen, tetapi hari ini dapat buat sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 1:55 PM
SERAMAI 529 jemaah kecil daripada 20 cawangan Pusat Pendidikan Awal Little Caliphs negeri lengkap memakai pakaian ihram merasai pengalaman sebenar setiap kali menjelang musim haji dengan mengikuti program Simulasi Haji Cilik 2018 yang dijalankan di padang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh. FOTO Syamsi Suhaimi
SERAMAI 529 jemaah kecil daripada 20 cawangan Pusat Pendidikan Awal Little Caliphs negeri lengkap memakai pakaian ihram merasai pengalaman sebenar setiap kali menjelang musim haji dengan mengikuti program Simulasi Haji Cilik 2018 yang dijalankan di padang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh. FOTO Syamsi Suhaimi