Antara pemenang AYIFF'16. FOTO ihsan UUM
Antara pemenang AYIFF'16. FOTO ihsan UUM
Nordiana Shafiee

 

[email protected]

Sintok: Filem 'Suraya' karya Zulaikha Zakaria dinobatkan sebagai filem terbaik Asian Youth Indie Film Festival (AYIFF'16) yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) malam tadi.

Hasil karya pelajar Universiti Multimedia itu turut merangkul anugerah Filem Naratif Terbaik.

 Penerbitnya, Ikhlas Khaled Novel Ngadimin berkata, filem berkenaan menceritakan mengenai Suraya yang berada dalam dilema antara minatnya ke atas tarian balet dan keluarga.

 "Filem ini dihasilkan pada awal tahun ini membabitkan 10 kru produksi terdiri pelajar tahun akhir dari Fakulti Seni Perfileman," katanya ditemui pada festival itu.

 Sementara itu, Dokumentari Filem Terbaik dimenangi Macho Gwapito, arahan Julian Miguel N Hernandez dari University of the Philippines; Muzik Video Terbaik oleh Noor Shafiq Nordin menerusi Langkah Pendekar dan kategori Pesanan Khidmat Masyarakat Terbaik dimenangi Azfar Hamdil Mohd Saidi menerusi filem Gentlemen.

 Filem Dendam karya Illman Farihin Rasid dari Sekolah Menengah Agama Johor Bahru dipilih bagi anugerah Young Promising Mind.

 Anugerah Khas bagi kategori bukan Asian pula dimenangi filem Dumpling Dilemma dari Columbus College of Art and Design Ohio, Amerika Syarikat dan Raja Aidzal Hakim menerusi filem Pagari Bulan menerima Anugerah Khas Juri.

 Dalam pada itu, Syamsul Yusof dan Pekin Ibrahim masing-masing dinobatkan sebagai Ikon Pengarah Filem Generasi Muda dan Ikon Pelakon Filem Generasi Muda yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

 AYIFF'16 yang mengiktiraf bakat dan hasil kerja pelajar serta penggiat seni Indie khususnya dari negara Asia telah diadakan di UUM selama tiga hari sejak 5 Oktober lalu.

 Penganjuran kali kedua itu bukan sahaja mengiktiraf karya seni, malah turut memberi pendedahan kepada peserta melalui seminar dan bengkel industri kreatif.

 AYIFF turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Jaclyn Victor, Zahid AF, Farhan AF, Maulana AF, Kausar, Mawi dan Syamsul Yusof.

Hadir sama Naib Canselor, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM Tan Sri Siti Sa'diah Sheikh Bakir dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 4:27 PM