MEREKA belum boleh berfikir dari sudut pandangan orang lain.
MEREKA belum boleh berfikir dari sudut pandangan orang lain.
TIADA istilah degil bagi bayi dan kanak-kanak sehinggalah mereka mencapai usia enam tahun.
TIADA istilah degil bagi bayi dan kanak-kanak sehinggalah mereka mencapai usia enam tahun.

Mengapa anak saya degil, sering memberontak? Mengapa anak saya susah mengikut arahan?

Persoalan ini pasti membelenggu setiap ibu bapa yang mempunyai anak kecil berusia bawah lima tahun yang berada di puncak perkembangan dan tumbesarannya.

Hakikatnya tiada istilah degil bagi bayi dan kanak-kanak sehinggalah mereka mencapai usia enam tahun.

Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, tanggapan degil itu berkemungkinan disebabkan ibu bapa melihat situasi atau senario apabila si anak tidak mengikut setiap arahan atau tunjuk ajar.

“Sebagai contoh, ibu atau bapa menyuruh si kecil meletakkan sesuatu di sini, tetapi dia tetap hendak meletakkannya di sana atau ibu atau bapa sudah banyak kali berpesan supaya jangan panjat namun si anak tetap memanjat.

“Kita sudah ajar ini caranya, dia tetap buat dengan caranya atau kita bercerita mengenai A tetapi si anak tidak membalas dan bercerita mengenai B,” katanya.

Nur Firdaus berkata, ada juga sesetengah ibu bapa yang menyatakan sudah puas mengajar anaknya memarkir lori permainan dengan betul, namun si anak tetap dengan cara parkir yang menyalahi peraturan lalu lintas.

“Hakikatnya, bayi dan kanak-kanak memang begitu kerana cara mereka berfikir berbeza sama sekali dengan cara pemikiran dewasa dan pada tahap ini, mereka belum mampu untuk melihat sesuatu dari sudut pandangan orang lain.

“Mereka hanya boleh melihat dan berfikir dengan cara mereka saja iaitu dalam bahasa mudah, semuanya mengenai dirinya. Inilah fenomena egosentrik,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai contoh situasi lain, ibu bapa meminta si anak berhenti bermain gelas kaca kerana memandang dari sudut keselamatan namun ia berbeza dengan pemikiran si kecil kerana mereka memandang dari sudut keseronokan bermain dengan gelas itu.

“Kadangkala nampak seperti mereka pentingkan diri. Mengenai orang lain pula? ‘Nasiblah.

“Situasi ini berkait dengan konsep skema yang secara mudahnya bermaksud apa yang kita tahu atau fahami mengenai sesuatu,” katanya.

Dunia bermain si kecil

Anak berusia 0 hingga lima tahun belum mempunyai skema mengenai kerja, kegunaaan meja, susunan barang, keselamatan barang, kepentingan kerja dan sebagainya.

“Dunia mereka hanyalah bermain dan bermain. Ketika usia bayi serta kanak-kanak inilah berlaku proses awal pembentukan skema.

“Dari hari ke hari, mereka akan semakin memahami aspek persekitaran. Sebagai contoh, anak-anak akan memecahkan cawan kerana mereka belum ada skema mengenai sifat bahan iaitu kaca yang akan pecah jika dikenakan daya tertentu,” katanya.

Oleh yang demikian, Nur Firdaus berkata, jangan sesekali menyebut perkataan degil walaupun sekali.

“Apa yang berlaku selama ini kerana mereka belum boleh berfikir dari sudut pandangan orang lain serta belum mempunyai maklumat lengkap dan sempurna mengenai apa yang berada di sekeliling.

“Cuba fahami dan tidak terus menghukum si kecil dengan menyatakan mereka degil atau tidak mahu mendengar kata,” ujarnya.

Cara menangani situasi:

Berikut perkara yang boleh dilakukan sebagai ibu bapa penyayang:

1. Lapangkan hati

Kita sudah pun memahami sifat kanak-kanak sebegini, justeru terimalah apa saja kemungkinan yang akan berlaku disebabkan kekangan ini.

2. Ulang secara konsisten

Apabila memupuk atau melatih sesuatu, ulang sebanyak mungkin kepada mereka dengan nada yang sama (bukannya semakin lama semakin marah). Mereka sedang membina skema, mungkin pada kali ke-30 baru mereka benar-benar memahaminya.

3. Jangan hadkan ‘corak’ kanak-kanak

Selagi tidak membahayakan, bebaskan mereka dengan corak yang mereka hasilkan. Susunan ke atas, terbalik ke bawah, penuhkan meja dan seumpamanya. Pada usia satu hingga dua tahun, bayi sibuk meneroka pelbagai kemungkinan dan mereka perlukan ‘ruang yang besar’ untuk belajar.

4. Elakkan daripada mengajar konsep

‘Jangan sampai mak bangun’

Didik anak untuk bergerak ketika mendengar arahan pada kali pertama. Caranya? Ucapkan dengan seluruh jiwa dan perasaan. Jika hendak menyuruh anak ke dapur, jangan bercakap dari dapur. Sebaliknya, datanglah kepada mereka, tatap wajah mereka, dan minta mereka ke dapur bersama-sama kerana sekiranya kita bercakap dari jauh, akan terbina konsep ‘Tak apa, mak cakap baru dua kali’.

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengatasi kedegilan si kecil:

- Kerap luangkan masa bersama si kecil terutama sewaktu mereka bermain.

- Cuba fahami kehendak dan pemikiran si kecil.

- Jangan sesekali memarahi dengan berulang terutama kepada si kecil yang dalam proses pembesaran.

- Cuba sesekali ikutkan cara dan kehendak mereka terutama apabila sedang melakukan sesuatu perkara.

- Teguran atau tunjuk ajar dilakukan bukan dalam nada memaksa atau marah. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 5:08 AM