Oleh Dr Rajini Sarvananthan (Pakar Perunding Perkembangan Kanak-Kanak)

Sebagai ibu bapa, anda mungkin mendapati bahawa kehidupan moden datang dengan pelbagai faedah dengan adanya gajet. Namun, sebelum anda mula terlalu bergantung kepada kegunaan gajet, anda perlu menimbangkan kebaikan dan keburukannya.

Malah, Steve Jobs sendiri dikenali sebagai seorang ‘bapa teknologi rendah’ yang tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan sebarang gajet pada hari persekolahan dan mengenakan batasan tegas pada hari minggu.

Ini bukan satu cara pengasuhan yang terpencil kerana ramai ketua pegawai eksekutif syarikat teknologi lain juga mengenakan peraturan ‘tiada gajet’ kepada anak-anak mereka. Baru-baru ini, Taiwan juga meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak berusia kurang daripada dua tahun menggunakan gajet elektronik, manakala kanak-kanak di bawah 18 tahun hanya dibenarkan menggunakan gajet bagi tempoh tertentu yang munasabah.

Membezakan antara yang baik dan buruk

Penggunaan gajet contohnya telefon pintar, komputer riba dan seumpamanya, memberi faedah jika digunakan untuk tujuan pendidikan. Antara kebaikannya termasuk:

- Memberi rangsangan kepada deria anak anda dan imaginasi melalui beberapa aplikasi kreatif.

- Membantu menggalakkan deria auditori de­ngan melatih kebolehan mendengar, contohnya menerusi cerita.

- Menggalakkan koordinasi halus mata-tangan melalui sesuatu permainan yang menjadikan anak anda celik komputer.

Namun, seperti semua perkara dalam kehidupan, perkara yang baik boleh menjadi keterlaluan. Penggunaan gajet yang keterlaluan boleh membuatkan anak anda terlalu bergantung kepada gajet dan dalam keadaan yang lebih ekstrem, menjadi ketagih.

Keadaan lebih teruk jika ibu bapa menggunakan gajet sebagai ‘pengasuh digital’ dan tinggalkan anak mereka berseorangan bersama gajet. Malah Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) menyarankan agar ibu bapa mengehadkan masa menonton skrin kepada kurang daripada satu hingga dua jam sehari bagi kanak-kanak, manakala kanak-kanak bawah dua tahun langsung tidak digalakkan menonton skrin.

Antara kemungkinan keburukan yang dikenal pasti termasuk:

- Gajet membantu dalam pembelajaran, namun tidak menggalakkan pembelajaran inovatif. Terlalu bergantung kepada gajet sejak kecil boleh membantutkan kreativiti anak anda dalam mencari penyelesaian bagi masalah kerana dia terlalu dimanjakan dengan maklumat.

Tambahan pula, kebanyakan aplikasi pendidikan hanyalah versi yang ditambah baik daripada versi perintis sebelumnya iaitu aplikasi kamus dan buku elektronik.

- Tidak menggalakkan perbualan atau interaksi antara anda dan anak anda. Perhubungan digital boleh menyebabkan terputusnya hubungan antara anda dan anak apabila dia terlalu asyik dengan gajetnya. Jangan lupa, elemen interaksi kemanusiaan antara anak dan anda sesuatu yang harus dihargai, jangan biarkan gajet menjadi penghalang antara anda berdua.

- Boleh menyebabkan gangguan tidur. Anak anda perlu tidur selama 12 jam setiap hari untuk membolehkan dia membesar dengan sihat. Gangguan tidur berlaku jika dia menggunakan gajet sebelum tidur atau jika dia berada di dalam bilik yang sama ketika anda menggunakan gajet, sudah terbukti cahaya yang bersinar dari skrin gajet boleh mengganggu tubuh yang sedang bersedia untuk tidur.

- Menggalakkan gaya hidup tidak aktif. Tidak kira betapa seronok atau merangsangkan gajet terbabit, ia tidak menggalakkan anak anda aktif secara fizikal. Anak anda perlu menggabungkan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal setiap hari untuk membina otot yang kuat dan membesar dengan sihat.

Selain itu, jika dia membentuk tabiat yang cenderung kepada gaya hidup tidak aktif sejak kecil, dia akan menghadapi risiko obesiti lebih tinggi.

Berhati-hati dan sentiasa beringat

Mustahil untuk melarang anak anda daripada menggunakan peranti. Jika dia tidak dapat menggunakan peranti di rumah, kemungkinan dia akan mencari jalan menggunakannya di tempat lain iaitu rumah kawan.

Cara terbaik yang anda boleh lakukan adalah mengajar anak anda menggunakan peranti dengan bertanggungjawab.

Beberapa tip menggalakkan penggunaan peranti secara sihat:

- Mengenakan peraturan penggunaan gajet yang tegas contohnya, tidak boleh gunakan gajet di meja makan. Anda juga boleh memasang penentu masa pada gajet untuk mengawal jumlah masa yang digunakan termasuk kekerapan dan tempoh anak anda dibenarkan menggunakannya, tidak kira sama ada bermain permainan atau menonton.

- Memantau aplikasi atau permainan yang anak anda gunakan. Anda perlu sentiasa melihat kembali sepintas lalu aplikasi atau permainan untuk memastikan kesesuaian kandungannya.

- Kehadiran begitu ramai pemain lain dalam talian (massively multiplayer online role-playing games - MMORPGs) satu lagi aspek penggunaan dalam talian yang anda perlu kawal. Pastikan anda tegas dalam mengehadkan masa anak anda bermain kerana ia cenderung kepada ketagihan.

- Jangan membiarkan anak kecil melayari Internet tanpa penyeliaan. Tidak semua maklumat yang terdapat dalam talian mesra kanak-kanak. Oleh itu, anda perlu lebih berwaspada. Jika anda tidak memantau anak anda sendiri, gunakan pelayar mesra kanak-kanak (contohnya KidZui Browser).

- Sentiasa pastikan anda berkomunikasi setiap masa dengan anak anda mengenai gajetnya. Biarkan dia berkongsi pendapat mengenai apa yang dirasai. Dengan cara demikian, anda akan mendapat komunikasi dua hala yang membolehkan anda berhubung lebih baik dengan anak anda.

Memimpin melalui teladan

Tidak boleh dinafikan gajet mempunyai banyak faedah kerana lazimnya penggunaan gajet membabitkan pembelajaran. Namun sebagai ibu bapa, amat kritikal untuk anda memahami peranan dalam menentukan persekitaran dan menjadi teladan kerana anak anda akan mengikut jejak anda dalam penggunaan gajet.

Selain itu, cara anda sebagai ibu bapa mengendalikan peraturan penggunaan gajet juga akan mencerminkan sama ada wujudnya dwi­standard. Lazimnya, ramai ibu bapa tidak mengamalkan apa yang mereka katakan. Ini menyebabkan anak rasa tidak senang kerana berasa ibu bapa ‘menyalah guna’ kuasa mereka.

Cara pengasuhan ‘lakukan seperti yang saya katakan, bukan seperti saya lakukan’ menimbulkan masalah kerana cara ini melemahkan kuasa anda. Secara tidak langsung, ia mengajar anak anda bahawa dia tidak perlu mengikuti peraturan apabila dewasa nanti.

* Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi rakan kongsi pakar - Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Idea dalam artikel ini berdasarkan pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 9:48 AM