Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan bergambar dengan Muhammad Hazreel Mikhail Hizar, 5, dan keluarganya ketika mengadakan lawatan di rumahnya di Bandar Seri Alam Johor Bahru. FOTO ihsan FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan bergambar dengan Muhammad Hazreel Mikhail Hizar, 5, dan keluarganya ketika mengadakan lawatan di rumahnya di Bandar Seri Alam Johor Bahru. FOTO ihsan FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli melawat kanak-kanak pesakit kulit genetik, Epidermolysis Bullosa (EB), Muhammad Hazreel Mikhail Hizar, 5, hari ini.

Baginda turut diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Kunjungan berkenaan bertujuan menyempurnakan hasrat Muhammad Hazreel yang juga penyokong Johor Darul Ta'zim (Johor DT) untuk bertemu dengan baginda.

Hasrat kanak-kanak berkenaan turut disiarkan dalam Harian Metro pada 25 Ogos 2016.

Muhammad Hazreel adalah peminat cilik setia JDT tetapi terpaksa melupakan hasratnya untuk menonton perlawanan di stadium atas sebab kesihatannya yang tidak boleh bersesak dengan orang ramai.

Sebaliknya, kanak-kanak itu hanya menonton televisyen di rumah atau di layar gergasi bagi setiap perlawanan JDT dan bermula dari situ timbul perasaan teruja untuk bertemu dengan Tunku Mahkota Johor.

Pastinya kehadiran keluarga Diraja Johor ini menjadi satu episod istimewa buat adik Hazreel dalam perjuangannya melawan penyakit yang dihidapi ketika ini.

Selain barangan cenderahati Johor Southern Tigers, Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail turut mengurniakan sumbangan untuk keluarga Muhammad Hazreel bagi menampung perbelanjaan perubatan kanak-kanak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 5:03 PM