NAJIB dan Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan Maximus (kiri) dan Pehin Datu Mohammad Yasmin bertukar dokumen perjanjian kerjasama. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB dan Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan Maximus (kiri) dan Pehin Datu Mohammad Yasmin bertukar dokumen perjanjian kerjasama. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Malaysia dan Brunei mengulangi komitmen untuk terus mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama terutama teknologi hijau.

Ia dibuktikan menerusi satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang berkenaan antara kedua-dua negara.

Perjanjian ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Tenaga dan Industri Brunei, Pehin Datu Mohammad Yasmin Umar.

Majlis disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas majlis berkenaan, kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan perkembangan pelaksanaan pertukaran surat yang ditandatangani pemimpin Malaysia dan Brunei pada 16 Mac 2009.

Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan dokumen berkenaan dalam membuka jalan bagi kerjasama dua hala strategik dan meminta pegawai meningkatkan usaha untuk memuktamadkan perkara yang belum diselesaikan.

"Perdana Menteri dan Sultan Brunei turut berpuas hati dengan perkembangan yang dilakukan PETRONAS dan PetroleumBRUNEI di kawasan penyusunan komersial (CAA) di Blok CA1 dan CA2, perjanjian perkongsian pengeluaran di blok N dan Q serta kerjasama di Kanada dan Myanmar.

"Kedua-duanya juga komited dengan usaha PETRONAS dan PetroleumBRUNEI untuk mengkomersialkan penemuan terbaru di blok CA2 bagi memaksimumkan pulangan pelaburan kedua-dua pihak," katanya.

Terdahulu, Sultan Brunei dan Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Dataran Putra,di sini.

Ketibaan baginda berdua disambut Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, barisan menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Baginda kemudian memeriksa perbarisan kehormat yang dianggotai tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Mejar Ridzuan Basir.

Lawatan rasmi Sultan Hassanal itu adalah bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

Rundingan ini adalah acara penting dalam kalendar tahunan bagi kedua-dua negara. Ia adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 4:39 PM