Sultan Hassanal Bolkiah   dan Najib  menyaksikan  pertukaran dokumen MoU antara  Dr Maximus (kiri)  dan Datu Mohammad di Bangunan Perdana Putra, semalam.
Sultan Hassanal Bolkiah dan Najib menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Dr Maximus (kiri) dan Datu Mohammad di Bangunan Perdana Putra, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Malaysia dan Brunei komited mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara terutama di Sabah dan Sarawak berikutan masih banyak potensi ekonomi yang belum diterokai.

Perkara itu diputuskan secara bersama antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Ke-20, di sini, semalam.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada majlis berkenaan berkata, kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan aliran perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara terus kukuh, tetapi masih ada potensi ekonomi antara Malaysia dan Brunei yang belum diteroka.

“Kedua-dua pemimpin dicadangkan supaya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dua negara berkenaan bekerjasama meneroka peluang perniagaan dalam bidang berkenaan.

“Malah, satu forum perniagaan yang memberi tumpuan kepada PKS dari Brunei dan Malaysia diadakan di Brunei pada separuh pertama 2017,” katanya,

Menurutnya, forum perniagaan itu menjadi landasan terbaik kepada PKS dalam pelbagai sektor bertukar pengalaman dan berbincang mengenai prospek perniagaan bagi mengukuhkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua negara juga komited mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama terutama teknologi hijau, dan ia dibuktikan menerusi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang berkenaan.

Perjanjian ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Tenaga dan Industri Brunei Pehin Datu Mohammad Yasmin Umar dan disaksikan Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah.

Menerusi MoU itu, Malaysia dan Brunei mengambil langkah perlu menggalak dan mempromosikan kerjasama teknikal dalam teknologi hijau melalui pelbagai bidang.

Selain itu, kenyataan bersama itu turut memaklumkan kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan perkembangan pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani pemimpin Malaysia dan Brunei pada 16 Mac 2009.

“Perdana Menteri dan Sultan Brunei berpuas hati dengan perkembangan kerjasama antara PETRONAS dan PetroleumBRUNEI di Kawasan Penyusunan Komersial (CAA) di Blok CA1 dan CA2, Perjanjian Perkongsian Pengeluaran di blok N dan Q serta kerjasama di Kanada dan Myanmar.

“Kedua-duanya juga komited dengan usaha PETRONAS dan PetroleumBRUNEI untuk mengkomersialkan penemuan terbaharu di blok CA2 bagi memaksimumkan pulangan pelaburan kedua-dua pihak,” katanya.

Mereka juga menggalakkan PETRONAS bersama PetroleumBRUNEI dan Jabatan Tenaga dan Industri Brunei meningkatkan kerjasama merealisasikan hab luar pantai untuk menyokong pembangunan sumber hidrokarbon dari blokCA2 bagi mengekalkan pengeluaran gas ke Brunei.

Pada masa sama, mereka turut menekankan kepentingan kerjasama pertahanan bagi mengekalkan kestabilan dan keamanan, terutama menangani peningkatan ancaman keselamatan di rantau ini.

“Kedua-dua pemimpin juga turut berharap dalam menjalin kerjasama dua hala dalam bidang pertanian antara Brunei dan Sarawak terutama dalam pengeluaran beras, ternakan dan akuakultur.

“Mereka juga memaklumkan hasrat Brunei dan Sarawak untuk bekerjasama dalam bidang minyak sawit mentah pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah turut berpuas hati dengan usaha kedua-dua negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit yang baru muncul atau muncul semula terutama virus Zika.

Terdahulu, Sultan Brunei dan permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia untuk menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-20 diberi sambutan rasmi di Dataran Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 6:44 AM