ANANG bersama Ashanty dan bayi mereka.
ANANG bersama Ashanty dan bayi mereka.
AFP

Jakarta

Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) berkata, siaran langsung proses kelahiran anak Ashanty disiar stesen televisyen RCTI pada 14 Disember lalu melanggar undang-undang negara.

Menurut media, KPI menghantar surat teguran kepada RCTI sehari kemudian bagi menyatakan siaran Anakku Buah Hati Anang Ashanty tidak dianggap mendidik penonton.

Pada pandangan KPI, program itu yang disiarkan selama empat jam dianggap tak wajar.

“Ia tidak mendatangkan manfaat apa-apa pun untuk masyarakat,” kata agensi itu.

Berdasarkan teguran KPI, RCTI dilihat melakukan mengabaikan kepentingan awam dengan menyiarkan proses kelahiran pasangan selebriti berkenaan.

Kata sumber, KPI juga melarang RCTI menyiarkan ulangan program itu pada waktu lain.

Sementara itu, Anang dilaporkan diminta memberi keterangan kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berhubung siaran berkenaan.

Ahli Dewan Kehormat DPR, Guntur Sasono berkata, Anakku Buah Hati Anang Ashanty tidak sesuai disaksikan rakyat Indonesia.

“Sebagai anggota DPR, Anang perlu memberi penjelasan,” katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu Anang memenangi kerusi Jawa Timur IV selepas bertanding menggunakan tiket Parti Amanat Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:08 AM