TIDAK selalunya mudah bagi kanak-kanak untuk berjalan secara semula jadi. - Gambar hiasan
TIDAK selalunya mudah bagi kanak-kanak untuk berjalan secara semula jadi. - Gambar hiasan
TIDAK selalunya mudah bagi kanak-kanak untuk berjalan secara semula jadi. - Gambar hiasan
TIDAK selalunya mudah bagi kanak-kanak untuk berjalan secara semula jadi. - Gambar hiasan
DR Abdul Razak.
DR Abdul Razak.
Hajahfarhana Tarmudi


Sejak lahir, setiap bayi menunjukkan banyak pergerakan sama ada kaki, tangan mahupun badan. Biarpun belum mengenal erti berjalan, pergerakan itu sedikit sebanyak melegakan hati ibu bapa.

Namun, apabila usia semakin meningkat perkembangan pergerakan si kecil perlu diberi perhatian bagi mengenal pasti perkara yang tidak normal.

Mungkin ada ibu bapa panik apabila anak mereka mengalami masalah ortopedik iaitu yang membabitkan sistem otot dan rangka.

Sistem ini terdiri daripada tulang, sendi dan otot yang berfungsi di bawah kawalan otak manusia. Kebanyakan masalah ortopedik bersifat sementara dan hanyalah sebahagian daripada proses pembesaran.

Bagaimanapun, setiap ibu bapa perlu faham dan mengambil perhatian kerana ada sesetengah masalah ortopedik yang perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

Perhati gaya pergerakan anak

Perunding Ortopedik (Pediatrik dan Pakar Bedah Trauma) Gleneagles Kuala Lumpur Dr Abd Razak Muhamad berkata, ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan pergerakan anak bagi mengenal pasti lebih awal jika ada masalah yang berlaku.

“Tidak menjadi kebiasaan doktor memerhatikan masalah ortopedik (berkaitan tulang) dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, ibu bapa perlu tahu perkara yang normal dan tidak pada anak mereka.

“Kebanyakan masalah berkenaan boleh menjadi serius dan berterusan sehingga dewasa sekali gus mempengaruhi cara anak anda bergerak. Justeru, ada beberapa tanda penting yang boleh dilihat untuk menunjukkan anak perlu dibawa berjumpa perunding ortopedik,” katanya.

Antara tanda berkenaan:

1. Tapak kaki rata

Masalah ini merujuk kepada ketiadaan lengkungan semula jadi di bahagian tapak kaki, antara jari kaki dan tumit. Ia berlaku apabila kebanyakan daripada permukaan tapak kaki bersentuhan dengan tanah atau lantai.

Kebanyakan bayi dilahirkan dengan tapak kaki yang leper, tetapi ia akan menjadi semakin melengkung apabila mereka mula berjalan. Tapak kaki rata yang mudah dilentur (fleksibel) selalunya tidak boleh dibetulkan tetapi ia jarang menyebabkan sakit kaki atau masalah lain.

Kemungkinan, anak anda perlu memakai kasut yang dibuat khas jika dia mengalami sakit kaki.

2. Jalan berjengket

Menjadi perkara normal apabila kanak-kanak berjalan dengan cara berjengket terutama ketika mereka belajar berjalan. Namun, jika berterusan, mungkin ia menunjukkan mereka mempunyai kelemahan otot atau memberi petunjuk kepada masalah lain.

3. Kaki melengkung keluar

Ini terjadi apabila adanya jarak yang agak jauh antara lutut apabila anak berdiri dengan kaki dan buku lali dirapatkan (kaki kelihatan melengkung keluar).

Kebiasaannya, bayi dilahirkan dengan keadaan kaki melengkung secara normal, tapi kaki akan mula lurus apabila si kecil mula berjalan dan masalah ini akan hilang dengan bertambahnya usia.

Namun, apabila melepasi usia dua tahun dan masalah berkenaan masih berterusan, kemungkinan ia boleh mendorong kepada keadaan lebih serius seperti riket dan penyakit Blount.

Ada dua jenis keadaan kaki melengkung keluar iaitu fisiologikal dan patologikal. Jika ia masalah fisiologikal, ia tidak memerlukan rawatan kerana akan baik dengan sendirinya.

Namun, jika masalah berkenaan berlaku secara tidak normal atau patologikal, segera bawa pemeriksaan untuk memastikan sebab dan mendapat pengawasan serta rawatan sewajarnya.

4. Kaki bengkok ke dalam

Masalah ini boleh dilihat apabila keadaan kedua-dua belah kaki bengkok ke dalam dan lutut menyentuh satu sama lain, menyebabkan jurang antara buku lali apabila anak berdiri.

Kebanyakan kanak-kanak mengalami masalah ini di antara umur tiga hingga lima tahun. Apabila mereka berumur enam tahun, bentuk badan mereka akan lurus dengan sendirinya dan kebanyakan kanak-kanak boleh berdiri dengan kaki yang lurus.

Kadangkala kaki bengkok ke dalam patologikal akan terjadi dan jarak antara buku lali boleh melebihi 15 sentimeter. Sebaiknya, jika masalah berkenaan berterusan, bawalah berjumpa dengan doktor.

5. Skoliosis

Skoliosis dalam istilah biasa bermakna tulang belakang yang bengkok. Tulang belakang yang normal kelihatan mencengkung ke dalam dan ke luar apabila dipandang dari sisi.

Ia kelihatan lurus apabila dipandang dari belakang. Bagi masalah skoliosis, tulang belakang membengkok ke sisi Apabila dipandang dari belakang ia kelihatan seperti bentuk ‘S’ atau ‘C’.

Skoliosis disebabkan oleh faktor genetik, pertumbuhan tulang belakang yang tidak normal semasa perkembangan akil baligh dan masalah tulang atau otot.

Jenis skoliosis:

• Skoliosis kongenital yang terjadi sejak bayi dilahirkan.

• Skoliosis neuromuskular disebabkan oleh masalah otak (seperti palsi serebrum), masalah tulang belakang (seperti spina bifida) atau masalah otot (seperti distrophi muskular).

• Skoliosis degeneratif yang disebabkan oleh pembedahan, trauma atau penyakit tulang belakang.

• Skoliosis idiopatik - puncanya tidak dapat ditentukan dan ia juga mempunyai penghidap yang paling ramai. Jenis ini biasanya banyak membabitkan budak perempuan daripada budak lelaki.

Kadangkala tanda skoliosis dapat dilihat dengan ketara. Antara tandanya:

• Sebelah bahu lebih tinggi.

• Bilah bahu sebelah lebih ketara daripada bilah bahu satu lagi.

• Pinggang tinggi sebelah.

• Kaki seluar panjang sebelah.

• Tulang rusuk sebelah lebih ketara daripada yang lain.

Masalah yang mungkin timbul jika skoliosis menjadi serius:

• Masalah sakit belakang.

• Susah bernafas.

• Masalah penghadaman makanan.

• Masalah pergerakan.

6. Jari kaki ke dalam

Ia menunjukkan kaki ke dalam ketika berjalan atau berdiri dan biasanya dipanggil ‘pigeon toe’. Rawatan berbeza akan diberikan bergantung kepada masalah yang dihadapi.

7. Kaki pendek sebelah

Keadaan berkenaan sukar dilihat dengan mata kasar, hanya pakar yang dapat menilai masalah yang dihadapi dengan melakukan pemeriksaan terhadap struktur badan sebelum membuat keputusan.

Perbezaan ukuran kaki yang tidak dirawat boleh menjejaskan perkembangan struktur rangka.

Keperluan tulang sihat

“Bagi menggalakkan pertumbuhan tulang yang sihat secara optimum, kanak-kanak perlu dirangsang dengan aktiviti fizikal dan diet yang seimbang.

“Diet seimbang ialah komponen utama yang mempengaruhi struktur rangka yang matang pada masa akan datang. Diet tinggi kalsium dan protein membantu memastikan kesihatan dan pertumbuhan tulang.

“Makanan yang tinggi kalsium seperti sayuran hijau, susu, keju, kacang badam dan sesetengah ikan juga baik untuk kesihatan tulang. Elakkan anak mengambil terlalu banyak makanan diproses dan makanan ringan sebaliknya gantikan dengan buah segar.

“Sesetengah masalah tulang dan pertumbuhan kanak-kanak juga boleh dikaitkan dengan obesiti. Berat badan yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan yang tidak normal pada pertumbuhan sekali gus meningkatkan punca kepada masalah lain,” katanya.

Ujarnya, kanak-kanak yang mengambil sumber kalsium tidak mencukupi dalam diet boleh meningkatkan risiko mendapat masalah riket iaitu penyakit yang mengakibatkan tisu tulang tidak berupaya menghasilkan mineral tulang dan menyebabkan tulang lembut dan kecacatan rangka tulang.

Justeru, galakkan anak aktif melakukan aktiviti seperti berjalan, berlari, melompat atau memanjat yang baik untuk membantu pertumbuhan dan menguatkan tulang.

Namun, ambil perhatian aspek keselamatan jika mahu melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal yang memerlukan kanak-kanak memakai pakaian lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 12:33 PM