TULANG belakang seorang pesakit skoliosis akan membentuk lebih kepada huruf ‘S’ atau pun ‘C’.
TULANG belakang seorang pesakit skoliosis akan membentuk lebih kepada huruf ‘S’ atau pun ‘C’.
SEBELUM dan selepas rawatan.
SEBELUM dan selepas rawatan.
ANTARA kaedah rawatan membetulkan tulang belakang.
ANTARA kaedah rawatan membetulkan tulang belakang.
Hidayatul Akmal Ahmad

Sebelum ini ramai yang salah faham menggalas bebanan berat seperti beg sekolah menyebabkan bahu menjadi sakit, tulang belakang bengkok, tidak rata, senget dan sebagainya.

Selepas itu ada pula pihak menyarankan murid tidak perlu dibebani dengan beg yang berat sebaliknya hanya membawa beg tarik ke sekolah bagi mengelak skoliosis.

Skoliosis ialah istilah perubatan merujuk kepada keadaan tidak normal apabila tulang belakang seseorang membengkok ke kanan atau ke kiri atau boleh juga ia berpusing. Jika dilihat pada X-ray dari sudut hadapan, tulang belakang seorang pesakit skoliosis akan membentuk lebih kepada huruf ‘S’ atau pun ‘C’ berbanding bentuk lurus pada orang normal.

Kebanyakan pesakit menganggap sebagai perkara biasa sahaja. Tetapi ia adalah sakit berbahaya sekiranya tidak dirawat. Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita iaitu sebanyak dua peratus berbanding lelaki hanya 0.5 peratus.

Perunding Bedah Ortopedik (tulang belakang) Pusat Perubatan Subang Jaya Dr Siow Yew Siong berkata, sehingga kini punca sebenar skoliosis masih belum diketahui.

“Membawa bebanan berat seperti beg sekolah bukan punca skoliosis kerana ada kes tertentu skoliosis dikesan sejak dalam kandungan lagi. Sejumlah 99 peratus penghidap tidak berasa sakit dan tiada simptom tertentu. Mereka juga tidak menyedari menghidap skoliosis sehingga menjalankan pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Walaupun ia tidak membawa maut, penghidap skoliosis boleh menjejaskan kualiti hidup dan pesakit kurang keyakinan. Ini disebabkan mereka tidak boleh berjalan secara normal, tidak boleh berlari, sukar bernafas serta mengganggu aktiviti harian,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.

Menurut Siow, terdapat beberapa jenis skoliosis tetapi yang paling biasa adalah Adolescent Idiopathic Scoliosis (AIS). Punca AIS masih tidak diketahui secara pasti namun berdasarkan kajian, ada beberapa teori mungkin menjadi punca keadaan ini.

“Antaranya faktor genetik, hormon tidak stabil dan sebagainya. Lazimnya skoliosis hanya disedari orang sekeliling yang nampak perubahan pada tulang belakang.

“Ada kajian menyatakan wanita mengalami skoliosis lebih berisiko mempunyai magnitud lengkungan tulang belakang yang

lebih teruk berbanding lelaki. Lebih teruk, wanita mengalami skoliosis berdepan masalah saiz payu dara berbeza.

“Antara faktor lain yang menghasilkan magnitud lengkungan yang besar adalah ketika pesakit menempuh usia baligh (puberty) dan bagi pesakit mempunyai magnitud skoliosis yang besar pada masa ia mula dikesan,” katanya.

Siow menjelaskan, di Hong Kong dan Singapura mereka melaksanakan ujian kesihatan termasuk X-ray di sekolah termasuk murid yang mengalami skoliosis bagi mengesan masalah berkaitan kesihatan lebih awal.

“Dengan cara itu, kita dapat mengesan masalah kesihatan lebih awal seterusnya merawat lebih cepat. Pemeriksaan X-ray penting bagi mengetahui tahap skoliosis dialami pesakit. Secara lazimnya X-ray dilakukan ke atas keseluruhan tulang belakang termasuk tulang pinggul pesakit.

“Pemeriksaan X-ray dapat menentukan kedudukan Apeks (tempat tulang belakang yang paling bengkok), arah kebengkokan serta mengira magnitud darjah kebengkokan dengan menggunakan ‘Cobb’s angle’,” katanya.

Siow menambah, jika skoliosis dibiarkan, tulang belakang akan menjadi lebih teruk dan organ penting seperti paru-paru dan jantung akan berhimpit.

“Jika keadaan ini berterusan, masalah lain akan timbul seperti sesak nafas, sakit sendi yang teruk serta pitam. Kebanyakan pesakit skoliosis lebih menderita dari segi mental berbanding fizikal. Ini kerana kebanyakannya berasa rendah diri, murung, sedih, kecewa dan putus asa. Ini terjadi kerana ketidaknormalan bentuk tubuh badan yang bengkok,” katanya.

Mengenai rawatan, Siow menjelaskan terdapat tiga peringkat mengikut tahap skoliosis iaitu observation (pemerhatian), ‘orthosis’ (pengunaan alat sokongan dengan tujuan pembetulan tulang yang membengkok atau melengkung) dan ‘operation’ (pembedahan).

“Bagi skoliosis dengan magnitud 20-40 darjah, biasanya dirawat dengan ortosis atau ‘bracing’. Rawatan ini bergantung kepada usia serta tahap kematangan tulang pesakit (Risser staging).

“Ortosis tidak sesuai digunakan untuk masalah tulang belakang yang telah matang (mature spine), magnitud melebihi 40 darjah dan juga dalam kes tulang torasik yang melengkung ke belakang (thoracic lordosis),”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:02 AM