Seronok dan terhibur sewaktu menyaksikan pertandingan e-Sukan yang menggabungkan pelbagai permainan maya popular masa kini. HAZRIL MDNOR yakin setiap pemain memasang hasrat untuk lebih komited dan bersungguh-sungguh menjayakan landasan ini.

E-Sukan ataupun pertandingan permainan maya secara kompetitif bukan lagi istilah asing dalam kalangan anak muda. Menariknya, konsep permainan ini semakin diterima oleh masyarakat dan juga anak muda kerana ia mewujudkan persaingan sihat antara peserta selain menyediakan wang tunai dan hadiah menarik bagi pemenang.

Terkini, pertandingan permainan siber ataupun Selangor Cyber Games yang bertempat di Encorp Strand Mall pada 13 dan 14 Disember lalu adalah usaha terbaru dilaksanakan bertujuan memupuk semangat dan minat anak muda untuk terus mengembangkan bakat mereka dalam arena permainan video ini.

Menariknya, acara ini ternyata meriah dengan sambutan lebih dari 500 peserta bertanding menerusi permainan popular seperti Fifa 15, League of Legends (LOL), Dota 2 dan juga Counter Strike Global Offensive (CSGO). Ditambah lagi dengan telatah dan gelagat pengacara memberikan komen dan butiran terperinci perkembangan pertandingan yang sedang berlangsung itu, ternyata lebih seronok dan terhibur sewaktu menonton perlawanan setiap peserta pertandingan.

Berpeluang menjadi tetamu istimewa untuk melihat sendiri bagaimana pertandingan itu berlangsung, penulis cukup terhibur dan kagum dengan kemahiran dan kepandaian peserta menonjolkan bakat mereka melalui permainan yang dimainkan. Ikuti temu bual penulis bersama dua anak muda yang juga antara peserta untuk pertandingan ini.

Tunjuk kemahiran

Mohd Fitri Mohd Razak, 27, berkata dia sudah lama meminati permainan Dota 2 yang mula menjadi fenomena sejak tahun lepas.

"Permainan ini banyak mengubah persepsi saya terhadap permainan video secara menyeluruh. Pada mulanya memanglah bermain hanya untuk suka-suka tapi selepas saya melihat sendiri peluang yang ada untuk jana pendapatan, rasanya tak salah mencuba," katanya.

Menghabiskan sepenuh masa bermain 'game' tanpa berhasrat untuk ke peringkat lebih tinggi pastinya merugikan diri sendiri. Tambah Fitri lagi, berpeluang menyertai pertandingan kompetitif seumpama ini membuka peluang kepadanya untuk terus komited dalam arena ini.

"Memang seronok jika dapat bertanding bersama pemain lain kerana kita boleh menonjolkan kemahiran dan skil yang ada. Dengan wujudnya pertandingan sebegini, ia memberi peluang kepada saya dan pemain lain untuk terus mara ke peringkat yang lebih tinggi dan kompetitif," katanya.

Fitri juga lebih meminati corak permainan Dota 2 kerana baginya, ia berlainan daripada permainan video lain yang rata-ratanya hanya memerlukan kecekapan berfikir. Katanya, permainan ini menitikberatkan kerjasama antara pasukan yang menjadi pesona utama 'game' berkenaan.

"Bagi saya Dota 2 berbeza dari game lain kerana kerjasama antara pasukan perlu diutamakan untuk meraih kemenangan. Disiplin juga perlu ada agar komunikasi bersama ahli kumpulan berjalan lancar," katanya.

Tambahnya lagi, permainan Dota 2 ada potensi untuk menggalakkan lebih ramai pemain amatur mencuba nasib sekali gus mencetuskan fenomena baru pada masa depan.

"Apa yang saya lihat, Dota 2 lebih diminati remaja berbanding game lain. Tak mustahil suatu hari nanti lebih ramai pemain tempatan yang berbakat akan berjaya melayakkan diri ke peringkat antarabangsa berikutan perkembangan positif ini," katanya.

Bukan sekadar minat

Lain pula bagi Nor Aiman Nor Azham, 21, yang lebih menggemari permainan CSGO kerana ia seronok dan mencabar selain menguji minda setiap pemain.

"Elemen penting dalam permainan ini sudah semestinya ketepatan dan kebijaksanaan melancarkan tembakan dan menentukan kedudukan pihak lawan. Justeru, permainan 'first person shooter' (FPS) sebegini lebih sukar untuk dipelajari apatah lagi dikuasai," katanya.

Bagi Aiman, setiap pemain tegar permainan video perlu sentiasa berdisiplin dan tidak sesekali memandang remeh apabila membabitkan aspek pembahagian masa yang betul.

"Sudah tentunya dengan bermain game, kita akan meluangkan masa yang banyak. Namun bagi saya, ia bergantung pada individu itu juga. Saya akan siapkan dulu kerja yang tertunggak terlebih dulu agar masa boleh diseimbangkan dengan sebaiknya," katanya.

Pembabitannya dalam pertandingan kompetitif sebegini sejak berumur 15 tahun mendorong dirinya untuk terus komited dalam landasan ini.

"Ketika itu saya masih di bangku sekolah dan sekadar mencuba nasib dengan menyertai pertandingan kompetitif peringkat amatur untuk permainan CSGO. Sejak itu saya terus komited dan menyertai lebih banyak pertandingan apabila terbuka saja peluang di depan mata," katanya.

Didorong dedikasi dan minat mendalam terhadap permainan itu, dia tidak kisah mengorbankan masa dan usaha asalkan dia berupaya memperoleh pencapaian yang diimpikannya.

"Selepas saya merasai sendiri pengalaman menyertai pertandingan kompetitif sebegini, ia sebenarnya memerlukan usaha berterusan untuk berjaya. Berpeluang bersaing dengan peserta lain dari luar negara yang lebih profesional, itulah pencapaian yang ingin saya kecapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:04 AM