AUBAMEYANG (kiri)  jaring gol pembukaan Dortmund.
AUBAMEYANG (kiri) jaring gol pembukaan Dortmund.
Reuters

Berlin: Pencabar gelaran Borussia Dortmund menang 3-1 ke atas Freiburg sekali gus membolehkan mereka berkongsi kedudukan dengan pendahulu Bayern Munich di persada Bundesliga.

Dortmund yang mengumpul 14 gol sepanjang tiga perlawanan liga terakhir, sepatutnya mampu membunuh pergerakan Freiburg tetapi beberapa kesilapan membolehkan lawan merapatkan kedudukan.

Bagaimanapun, jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Lukasz Piszczek serta jaringan pada masa kecederaan oleh Raphael Guerreiro memastikan Dortmund mencatat kemenangan keempat sepanjang lima perlawanan untuk menyamai rekod 24 aksi tanpa tewas di tempat sendiri.

Dortmund mengumpul 12 mata - jumlah yang sama dengan Bayern Munich dan akan menentang Hamburg SV hari ini.

“Selepas bermula perlahan sepanjang 15 minit pertama, kami mula menguasai perlawanan dan kami sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar,” kata jurulatih Dortmund Thomas Tuchel yang menyaksikan anak buahnya menjaringkan lima atau lebih gol sepanjang tiga perlawanan dalam semua pertandingan.

“Ia kemudian mula berubah dan kami seakan gementar. Tetapi kemenangan ini amat selesa buat kami terutama selepas menang tiga perlawanan berturut-turut.”

Aubameyang sepatutnya menjaringkan gol apabila menerima hantaran Matthias Ginter tetapi cubaan pemain antarabangsa Gabon itu tersasar.

Penguasaan Dortmund akhirnya berbaloi apabila Aubameyang menjaringkan gol hasil hantaran Ousmane Dembele dan Piszczek menambah gol kedua, lapan minit selepas rehat.

Guerreiro memastikan tiga mata menjadi milik pasukannya pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:15 AM