GUARDIOLA (tengah) menjulang Piala Jerman bersama anak buah.
GUARDIOLA (tengah) menjulang Piala Jerman bersama anak buah.
AFP

Berlin: Pep Guardiola meraikan penamat cemerlang sebagai pengurus Bayern Munich semalam ketika pasukannya menewaskan Borussia Dortmund menerusi penalti untuk menjuarai final Piala Jerman.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol dalam tempoh 120 minit perlawanan namun Dortmund terlepas dua penalti pada penentuan itu dan memberikan kemenangan buat Bayern, juga gelaran ketujuh dan terakhir buat Guardiola di Jerman sebelum menuju ke Manchester City.

Guardiola yang sering dianggap tidak beremosi sepanjang di Munich mengalirkan air mata ketika Bayern meraikan kejayaan mereka.

“Apa saja boleh berlaku dalam penentuan penalti, jadi kami begitu gembira,” kata Guardiola.

“Tiga tahun yang menakjubkan di kelab ini. Saya pasti rindukan semua pemain.

Penyerang Bayern Thomas Mueller menambah: “Penalti sentiasa menjadi cara menakutkan untuk menentukan kemenangan tetapi saya fikir kami berhak menang.

Ia juga hari penuh emosi buat Mats Hummels. Kapten Dortmund itu akan berpindah ke Bayern musim panas ini selepas lapan tahun bersama Borussia.

Aksi terakhir Hummels bagaimana pun berakhir lebih awal selepas pemain itu mengalami kekejangan otot dan tempatnya digantikan Matthias Ginter pada minit ke-79.

Selepas Sven Bender dan Sokratis gagal menjaringkan gol buat Dortmund, Douglas Costa meledak penalti kemenangan untuk memberikan Guardiola pengakhiran sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 8:51 AM