BAYERN julang Piala Super Jerman selepas kegagalan Bartra.
BAYERN julang Piala Super Jerman selepas kegagalan Bartra.

Dortmund, Jerman: Bayern Munich menjulang Piala Super Jerman kelmarin hasil kemenangan 5-4 selepas penentuan penalti ke atas Borussia Dortmund selepas percubaan terakhir Marc Bartra diselamatkan penjaga gol.

Perlawanan itu berkesudahan 2-2 selepas 90 minit apabila jaringan awal Christian Pulisic buat Dortmund disamakan Robert Lewandowski.

Pierre-Emerick Aubameyang, penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu, kembali meletakkan Dortmund di depan berbaki 19 minit perlawanan sebelum jaringan Lukasz Piszczek ke gawang sendiri pada minit terakhir membawa perlawanan ke penentuan penalti.

“Kami tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan tapi kini kami mempunyai sedikit masa untuk berlatih dan saya gembira kami menang gelaran pertama,” kata Lewandowski yang meledak penalti pertama Bayern pada penentuan itu.

Bartra, bekas pertahanan Barcelona satu-satunya pemain yang cedera sewaktu letupan bom ke atas bas pasukan Dortmund April lalu, menyaksikan jaringan penalti ke-12 diselamatkan untuk memberikan Bayern piala kedua berturut-turut.

Aubameyang, yang menjadi sasaran kelab China dengan kontrak lumayan dan Ousmane Dembele, yang ditawarkan Barcelona 70 juta euro (RM352.8 juta) sebagai pengganti Neymar, kedua-duanya cemerlang buat Dortmund.

Kemenangan itu memberikan Bayern gelaran pertama musim ini ketika juara bertahan itu membuka kempen Bundesliga dengan menanti kunjungan Bayer Leverkusen 18 Ogos ini.

Kemenangan itu memberikan semangat buat jurulatih Carlo Ancelotti selepas pasukannya tewas lima daripada enam aksi pemanas badan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 10:36 AM