RANGKAIAN edisi terhad menggunakan bunga mawar sebagai bahan asas.
RANGKAIAN edisi terhad menggunakan bunga mawar sebagai bahan asas.

Bunga ialah lambang percintaan yang menjadi pilihan utama pembuat wangian. Sejak berkurun lamanya, bunga mawar digemari ramai dek kecantikan, kelembutan dan harumannya yang menggoda.

Bagi menghargai bunga mawar sebagai salah satu inspirasi bagi L’Occitane sejak 1976, koleksi edisi terhad Rose Originelle diperkenalkan.

Ia dicipta berdasarkan ilham yang diperoleh daripada tradisi budaya wangian, seni dan kraf tradisional Provence serta bunga berkenaan yang dijadikan sebagai bahan secara warisan.

Koleksi dengan keharuman, formula dan pembungkusan baru itu dicipta bagi memberi penghargaan kepada kehalusan seni sulaman yang diwarisi oleh wanita Provence sejak turun-temurun.

Anak gadis mereka mewarisi kepakaran memahami keindahan ciptaan bunga mawar daripada ibu masing-masing dan mengabadikan kecantikannya dalam sulaman.

Sekuntum mawar yang kelihatan biasa tetapi cantik, dipilih bagi menghiasi botol eau de toilette manakala produk dihiasi dinding motif bungaan, seolah-olah mawar rekaan Olivier Baussan itu memanjat naik ke puncak.

Gabungan bunga mawar Rosa Gallica dan Grasse Rosedua membentuk asas keharumannya dengan sentuhan kelembutan yang menggiurkan.

Pada zaman dulu, Rosa Gallica juga dikenali sebagai mawar Perancis atau mawar Provence, biasa digunakan dalam pembuatan ubat dan minyak wangi.

Ia dikenali di Eropah sejak kurun ke-15 tetapi semakin jarang ditemui dan hanya kembang mekar sekali setahun. Bagi mengekalkan keindahan bunga mawar berkenaan agar tidak ditelan zaman, jenama itu mula menanamnya di ladang mawar organiknya di rantau Drome.

Asas wangian tradisional koleksi wangian berkenaan pula diperoleh daripada Grasse Rose, juga dirujuk sebagai May Rose atau Rosa Centifolia. Pokok bunga dengan kelopak warna merah jambu dan stamen kuning keemasan ini masih ditanam di kawasan asal namanya diperoleh.

Kebanyakannya ditanam untuk mendapatkan pati minyak dan haruman utama yang menggoda perasaan. Wangian lembut itu membuka tirainya dengan keharuman bergamot, anggur hitam dan kelopak mawar.

Ia kemudiannya disusuli dengan haruman adunan violet dan magnolia. Wangian yang memberi sentuhan kewanitaan ini diperkasakan oleh kesturi dan kayu cendana sebagai haruman dasar.

Dalam rangkaian koleksi terkini itu, terdapat juga gel mandian, losen badan dan salap tangan bagi penampilan haruman yang senada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 5:31 AM