Tajul Urus (kiri) melawat mangsa banjir di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai, hari ini.  FOTO Nor Farhani Che Ad
Tajul Urus (kiri) melawat mangsa banjir di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai, hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Kira-kira 200 penduduk membabitkan 43 keluarga di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai, di sini, terjejas akibat banjir kilat, 3 pagi tadi.

Ia berpunca daripada fenomena air pasang besar selain dipercayai berpunca daripada penerokaan hutan bakau di kawasan berhampiran kampung terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di kampung berkenaan dan selain air pasang besar, kejadian dipercayai berpunca daripada penerokaan kawasan paya hutan bakau seluas hampir 20 hektar oleh beberapa pihak tuntuk dijadikan kawasan sawah.

"Sebelum ini, kawasan kampung ini tidak pernah berlaku kejadian banjir kilat seperti ini biarpun kedudukan kampung berada berhampiran dengan kawasan laut.

"Namun sejak kegiatan penerokaan ini dijalankan, kejadian ini berlaku sehingga ada rumah penduduk dinaiki air hampir dua meter yang menyebabkan kerosakan harta benda," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir di sini, hari ini.

Selain itu katanya, masalah sistem saliran yang tidak sempurna di kawasan itu juga menyebabkan air laut yang melimpah serta takungan air hujan tidak dapat disalurkan keluar.

"Saya sudah memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung masalah ini dan saya juga akan melakukan mesyuarat dengan beberapa pihak bagi mengenalpasti pihak yang melakukan aktiviti penerokaan ini untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 3:48 PM