Reuters

Singapura: Max Verstappen dan Daniel Ricciardo mencatat keputusan ‘satu-dua’ buat Red Bull pada sesi latihan bebas pertama semalam ketika Mercedes sekali lagi bergelut untuk menyaingi kepantasan pencabar terdekat mereka di Grand Prix Singapura.

Pelumba Belanda, Verstappen, 18, melengkapkan pusingan Litar Marina Bay Street dalam tempoh satu minit 45.823 saat untuk mengatasi rakan sepasukan dari Australian dengan 0.049 saat.

Mereka disusuli pelumba Ferrari Sebastian Vettel, ketinggalan 0.464s.

Seperti kes setahun lalu di mana Vettel mara menuju kemenangan, penguasaan Mercedes bagaikan tersekat dengan downforce tinggi selain keadaan litar di trek Singapura menyebabkan Lewis Hamilton dan Nico Rosberg masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Pendahulu kejuaraan Hamilton ketinggalan 0.603 saat di belakang Verstappen. Sesi latihan buat Rosberg berakhir lebih awal selepas sayap kanannya pecah akibat perlanggaran pada akhir sesi 90 minit itu.

Kedua-dua pelumba Mercedes mencatat masa terpantas dengan menggunakan tayar lembut dengan ketiga-tiga perlumba terbaik, lebih pantas menggunakan tayar ultrasoft.

Sesi itu bermula pada waktu senja ketika semua kereta menguji litar buat kali pertama tetapi pelumba McLaren Jenson Button terpaksa menamatkan saingannya lebih awal dan dibawa keluar menggunakan kereta keselamatan.

“Ya, ia berhenti,” kata pelumba Britain itu menerusi radio pasukan.

“Saya tidak boleh memandunya pulang ke pit.”

Semua kereta kembali ke pit ketika kereta pelumba Britain itu ditolak beberapa ratus meter ke garajnya oleh marshal dan anggota krew.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:03 AM