AFP

Suzuka, Jepun: Gandingan Mercedes Lewis Hamilton dan Nico Rosberg mempamerkan keupayaan sebenar mereka dalam sesi latihan bebas kedua di Jepun semalam sebelum hujan lebat menyebabkan sesi petang tergendala.

Pelumba Red Bull Daniil Kvyat mengungguli catatan masa dalam cuaca basah di Suzuka dengan satu minit 48.277 saat manakala Rosberg ketinggalan 0.023s dan juara bertahan, Hamilton setengah saat di belakang.

Hujan mencetuskan kekecohan pada sesi pagi apabila hanya 12 pemandu menyempurnakan sesi latihan mereka ketika bergelut mengawal kereta masing-masing.

Mercedes yang bertekad menebus kesilapan misteri di Singapura hujung minggu lalu mencatat masa terpantas pada sesi kedua, sebelum Kvyat memperbaiki catatan sesi pagi untuk berada di depan Roseberg.

Namun ketika saingan kembali sengit, hujan kembali memaksa kereta kembali ke garaj masing-masing dan apabila Hamiton akhirnya beraksi dengan tayar basah, dia diberi amaran menerusi radio ‘supaya berwaspada dengan sungai’ yang membayangkan betapa teruknya litar berkenaan.

Daniel Ricciardo mencatat masa keempat terpantas di belakang Hamilton manakala juara Singapura Sebastian Vettel memacu Ferrari untuk catatan pusingan kelima terpantas.

Berikutan nahas yang mengorbankan pelumba Perancis Jules Bianchi di litar sama tahun lalu, pastinya situasi itu menjadikan perlumbaan kali ini penuh emosi namun pemandu enggan mengambil risiko dalam keadaan litar sedemikian.

Hamilton yang gagal menamatkan perlumbaan buat kali pertama sejak lebih setahun minggu lalu masih mendahului dengan 41 mata dengan baki enam perlumbaan.

Namun dia meluahkan kekecewaan apabila sesi latihan semalam tidak ubah seperti latihan analisis data.

“Anda tidak mahu mengambil risiko dan kemudiannya merosakkan kereta,” katanya.

“Hari ini kami hanya berlatih dan melakukan beberapa pusingan namun tidak banyak yang boleh kami pelajari daripadanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:05 AM