B Sathianathan. FOTO File NSTP
B Sathianathan. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhasrat untuk melantik anak tempatan sebagai Pengarah Teknikal yang baharu, sudah tentunya nama B Sathianathan dilihat calon yang boleh dipertimbangkan oleh badan induk itu.

Jelas bekas pengendali pasukan UKM FC, Sulaiman Hussin, pengalaman luas Sathianathan selama 29 tahun dalam bidang kejurulatihan, sama ada di peringkat akar umbi hingga ke senior sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Katanya, Sathianathan cukup memahami selok belok bola sepak tempatan dan tahu bagaimana untuk membantu serta menambah baik sistem bola sepak negara terutamanya di peringkat pembangunan.

"Bagi saya, daripada kita fokus kepada calon luar lebih baik berikan tanggungjawab itu kepada Sathianathan.

"Beliau bukan saja pernah mengendalikan pasukan-pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), malah beliau juga pernah menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya.

"Saya kira beliau calon yang terbaik. Rugi kalau kita tidak memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang ada padanya. Daripada kita bayar mahal kepada orang luar, baik guna kepakaran orang tempatan saja," katanya yang kini penolong jurulatih Kuching City FC.

Berdasarkan profile Sathianathan, beliau mula berjinak dalam dunia kejurulatihan pada 1992 apabila membimbing Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas.

Seterusnya beliau menyertai FAM apabila menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara dari 1997-1999 dan 2002-2004.

Kemuncak kariernya sudah pasti ketika dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.

Dalam saingan Liga M, bekas pemain negara itu turut cemerlang membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).

Selain itu, beliau turut dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Sebelum ini, kerusi Pengarah Teknikal FAM kosong selepas penyandangnya, Datuk Ong Kim Swee melepaskan jawatannya untuk menerima tawaran Sabah FC sebagai jurulatih.

Ketika ini, beberapa nama dikaitkan untuk mengisi kekosongan itu termasuk bekas ketua jurulatih akademi Paris Saint-Germain (PSG), Saad Ichachelene dari Algeria yang kini berkhidmat selaku Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:14 PM