THIEM bersama trofi Terbuka AS. FOTO AFP
THIEM bersama trofi Terbuka AS. FOTO AFP
AFP

DOMINIC Thiem mempamerkan kebangkitan hebat sebelum menewaskan Alexander Zverev dalam aksi dramatik lima set untuk menjuarai Terbuka Amerika Syarikat yang juga Grand Slam pertamanya.

Pilihan kedua dari Austria itu menewaskan pilihan kelima 2-6, 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 (8/6) dalam masa 4 jam 2 minit di Stadium Arthur Ashe, awal pagi tadi.

Ia juga kali pertama dalam sejarah Terbuka AS, pemain bangkit selepas ketinggalan dua set dan kemudiannya menang gelaran selain kali pertama terpaksa ditentukan menerusi tie-break.

Gelaran itu turut yang pertama buat Thiem selepas tewas tiga kali pada final kejohanan utama.

Thiem muncul naib juara Terbuka Australia awal tahun ini dan turut tewas dua aksi terakhir di Terbuka Perancis 2018 dan 2019.

REAKSI Thiem sebaik tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI Thiem sebaik tamat perlawanan. FOTO AFP

Dia juga menjadi pemain terbaru menjuarai Grand Slam sejak pemain Croatia, Marin Cilic menang di Flushing Meadows pada 2014.

Thiem turut muncul juara pertama Grand Slam selain Novak Djokovic, Rafael Nadal atau Roger Federer sejak pemain Switzerland, Stan Wawrinka merangkul gelaran utama ketiganya di Terbuka AS 2016.

Perlawanan menarik itu hanya disaksikan sebilangan penonton, kebanyakannya pegawai pertandingan, wartawan dan petugas selepas pandemik koronavirus memaksa kejohanan di Pusat Tenis Billie Jean King di New York berlangsung tanpa penonton.

Selain tanpa penyertaan legenda Switzerland, Roger Federer dan juara bertahan Rafael Nadal, ia turut dicemari dengan penyingkiran pilihan utama, Novak Djokovic pada saingan 16 terakhir selepas tanpa sengaja memukul bola ke leher penjaga garisan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 9:30 AM