IBU bapa perlu ada keinginan, kesediaan memulakan perubahan ke arah gaya hidup lebih baik.
IBU bapa perlu ada keinginan, kesediaan memulakan perubahan ke arah gaya hidup lebih baik.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Teman yang tubuhnya agak berisi berkata, dia tidak pernah ada pengalaman menjadi individu kurus. Sejak kecil lagi, saiz badannya memang lebih besar berbanding rakan sebaya. Malah, teman ini pernah bertanya kepada ibunya, mengapa dia diberi banyak makanan ketika kecil dan si ibu menjawab sambil tersenyum: sebab kanak-kanak yang tembam itu comel.

Ya, memang ramai geram melihat kanak-kanak kecil yang montel, tetapi bukan comel seperti itu yang kita mahu. Kegemukan ketika kecil biasanya berlanjutan sehingga dewasa. Amat sukar untuk mengubah tabiat makan banyak yang dipupuk sejak kecil. Lebih sukar lagi untuk menghilangkan simpanan lemak yang ‘dikumpulkan’ bertahun-tahun lamanya.

Apabila memperkatakan soal berat badan anak, ibu bapa perlu melihat kepada tabiat makan mereka terlebih dulu. Banyak kajian menunjukkan ibu yang obes mempunyai kebarangkalian tinggi untuk mempunyai anak gemuk.

Berdasarkan kajian terbaru, penyelidik mendapati ketika dalam kandungan, sel badan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu obes mungkin ‘diprogramkan’ untuk mengumpul lebih lemak atau mempunyai kadar metabolisme berbeza yang boleh menyebabkan berlakunya kerintangan terhadap insulin keadaan yang meningkatkan risiko mendapat kencing manis.

Menurut Prof Madya Kristen Boyle dari Pusat Pengajian Perubatan Universiti Colorado, berdasarkan kajian makmal, didapati sel bayi yang dilahirkan ibu obes cenderung untuk mengandungi lebih lemak. Dan pengumpulan lemak dalam sel pula sejajar dengan kandungan lemak pada badan bayi ketika dilahirkan. Dalam kata ringkas, semakin banyak kandungan lemak dalam badan bayi ketika dilahirkan, semakin tinggilah peluangnya menjadi individu gemuk dan jika tidak dikawal boleh sampai ke tahap obes.

Apapun, obesiti berkait rapat dengan gaya hidup dan corak pemakanan seseorang. Bagi kanak-kanak, antara faktor penting yang mempengaruhi pertambahan berat badannya ialah gaya pemakanan ibu bapanya. Lazimnya, anak yang dibesarkan oleh ibu bapa bersaiz besar mempunyai berat badan yang ‘besar’ juga.

Akademi Pediatrik Amerika (AAP) menyatakan kebimbangannya terhadap kadar obesiti di Amerika Syarikat yang semakin meningkat saban tahun.

Lebih membimbangkan, ramai ibu bapa tidak melihat isu terlebih berat badan pada anak yang baru memasuki alam persekolahan sebagai satu perkara yang perlu diberi perhatian, malah ia dianggap satu perkara normal.

Penyelidik menganalisa data yang diperoleh dalam satu tinjauan dari 1988 hingga 1994 (membabitkan lebih 3,800 kanak-kanak) dan 2007 hingga 2012 membabitkan hampir 3,200 kanak-kanak. Dalam tinjauan itu ibu bapa diminta untuk mengkelaskan anak mereka yang berumur dua hingga lima tahun dalam kategori kurang berat, berat sesuai dan terlebih berat badan.

Bagi kanak-kanak lelaki yang terlebih berat badan, kira-kira 95 peratus ibu bapa mengkelaskan anak mereka mempunyai berat badan sesuai. Lebih kurang 90 peratus ibu bapa yang mempunyai anak perempuan berlebihan berat badan menganggap anak mereka ‘ok’.

Secara umumnya, kanak-kanak dalam kumpulan kedua (kajian 2007 hingga 2012) lebih gemuk berbanding kumpulan pertama. Pandangan ibu bapa terhadap berat badan anak itulah yang membimbangkan pakar kesihatan kerana ibu bapa yang menyedari anak mereka mempunyai berat badan berlebihan akan mengambil inisiatif untuk membantu si kecil mencapai berat ideal.

Dalam perkembangan terbaru, AAP memberi beberapa cadangan menarik untuk membantu ibu bapa mengekang masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dengan mengamalkan pemakanan seimbang, kerap bersenam dan mengehadkan aktiviti yang tidak banyak bergerak.

Semua orang tahu dan maklum dengan tiga cadangan umum itu. Benar, ia mudah diucapkan, tetapi amat sukar dilaksanakan, apatah lagi jika ibu bapa sendiri berhadapan dengan masalah berat badan dan kurang bersenam atau masih tidak bersedia melakukan perubahan dalam hidup mereka.

Presiden AAP Dr Sandra Hassink berkata, apa yang penting ialah keinginan dan kesediaan ibu bapa untuk memulakan perubahan ke arah gaya hidup yang lebih baik.

“Tiada istilah terlalu awal untuk melakukan perubahan bagi membantu anak mendapat berat badan yang ideal, sesuai dengan umurnya, meskipun anak baru berusia beberapa tahun.

“Keluarga boleh memperbaiki corak atau tabiat makan mereka dalam pelbagai cara, tetapi apa yang penting amalkan pemakanan sihat dan mesti diiringi aktiviti fizikal yang disesuaikan dengan perkembangan si anak,” katanya.

ika ibu bapa tidak tahu cara hendak memulakannya, dapatkan bantuan dan nasihat doktor. Meskipun ibu bapa mempunyai pengetahuan dalam soal ini, pandangan pakar khususnya pakar kanak-kanak akan dapat merangsang semangat mereka untuk menjayakan rancangan besar itu terutama dari segi perubahan tabiat.

“Kami menyarankan supaya ibu bapa dan ahli keluarga lain sama-sama saling memberi sokongan. Melalui cara ini mereka boleh bersama-sama mengamalkan gaya hidup lebih cergas dan meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh,” katanya.

Antara cadangan yang diberikan AAP ialah:

Kurangkan pengambilan gula dan kalori di rumah. Kanak-kanak tidak akan mempunyai keinginan untuk makan banyak jika ibu bapa tidak menyediakan makanan manis dan tinggi kalori. Hidangan manis seperti kek, coklat atau gula-gula hanya dibeli untuk acara khas saja contohnya hari lahir. Beli kek bersaiz kecil supaya ia dapat dihabiskan ketika majlis.

Sediakan makanan atau snek sihat. Sediakan air masak, buah-buahan, sayur-sayuran dan snek lain berkalori rendah di tempat yang mudah dicapai. Anda boleh letakkan buah-buahan potong dan letakkan ia di tengah-tengah peti sejuk, supaya ia menjadi pusat tumpuan penglihatan setiap kali anak membukanya. Ini meningkatkan kebarangkalian untuk anak makan snek berkhasiat itu. Galakkan anak (dan seisi keluarga) untuk makan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

Hadkan tempoh menonton televisyen. Jika selama ini anda menyediakan televisyen di setiap bilik, sudah sampai masa untuk mengurangkan jumlah televisyen yang ada di rumah anda. Sebaiknya, jangan letak televisyen di bilik tidur (kecuali bilik ibu bapa, jika mahu), dapur dan ruang makan. Anda boleh berbuat kebajikan dengan mendermakan televisyen yang tidak diperlukan ke rumah perlindungan kanak-kanak atau orang tua.

Tidur awal. Jika anda dan pasangan kaki menonton televisyen, sudah sampai masa untuk berkorban. Jangan pula memberi arahan kepada anak supaya tidur awal sedangkan anda sendiri menonton hingga larut malam. AAP mendapati individu (termasuk kanak-kanak) yang kurang tidur lebih mudah mengalami pertambahan berat badan atau obes.

Rancang aktiviti riadah keluarga. Ada banyak aktiviti yang anda boleh lakukan bersama-sama. Berjalan pantas pada waktu petang, bermain badminton, berbasikal atau membawa anak belajar berenang. Anda juga boleh sertai keluarga lain yang beriadah di taman rekreasi.

Anda juga boleh masukkan anak ke kem badminton, bola sepak, renang, taekwondo atau apa saja yang diminati oleh anak bagi merangsang semangatnya bersenam. Apabila berada dalam kelompok kanak-kanak, biasanya anak kita akan teruja dan seronok belajar sekali gus meningkatkan aktiviti fizikalnya. Sesekali sertai acara berjalan kaki atau maraton supaya anak rasa teruja untuk menjadi individu yang aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:00 AM