POKOK beka.
POKOK beka.
myMetro

Sebut sahaja buah atau pokok beka, mungkin ramai tidak pernah mendengarnya terutama golongan muda. Ini kerana beka yang juga dikenali sebagai bonglai atau Oroxylum indicum jarang ditanam. Kalau adapun, kebanyakannya tumbuh liar di belukar tepi kampung, berhampiran sungai dan tali air.

Buah beka ada banyak manfaat untuk kesihatan. Di utara dan pantai timur, kerabu buah beka muda menjadi hidangan pembuka selera, tetapi perlu dibakar terlebih dulu bagi mengurangkan rasa pahitnya.

Pucuknya pula direbus sebagai ulaman atau dibuat sayur dan rasanya enak, rangup dan lemak.

Bagi wanita selepas bersalin, daun beka digunakan sebagai lapik batu tungku. Bahagian yang digunakan dalam perubatan tradisional ialah buah, daun, batang dan akar.

Buahnya berbentuk leper seperti parang, berukuran 100 hingga 180 sentimeter (sm) panjang dan 7 sm lebar. Buah keluar pada hujung tangkai yang panjang.

Bijinya banyak, bersaiz 3.5 hingga 7.5 sm dan mempunyai kepak lutsinar. Buah mudanya berwarna hijau, tetapi bertukar kehitam-hitaman apabila masak. Dalam satu tangkai mempunyai sehingga 10 papan buah.

Pokok beka boleh dibiakkan melalui biji benih dan keratan batang.

Ia sejenis pokok yang bersaiz sederhana besar dengan ketinggian sehingga 18 meter. Bentuk batangnya lurus manakala buahnya panjang menyebabkan pokok ini mudah dikenali dari jauh.

Daunnya merimbun di hujung dahan, berbentuk pinat dan mengandungi tiga hingga empat helaian anak daun dalam satu tangkai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:47 AM