Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Affin Bank Berhad (AFFINBANK) dan Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) melaksanakan sistem Kad Kredit PIN & Bayar AFFINBANK dan Kad Debit PIN & Bayar AFFINBANK/AFFIN ISLAMIC Bank.

Peralihan itu adalah untuk menggantikan kad dengan tanda tangan kepada kad PIN & Bayar (kad PIN). Semua kad kredit dan debit (kad dengan tanda tangan) yang sedia ada akan digantikan dengan kad PIN sebelum 1 Januari 2017.

Kad PIN membolehkan pemegang kad menggunakan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) 6 digit sebagai cara pengesahan transaksi ketika menggunakan kad di terminal tempat jualan (point-of-sales terminal) di Malaysia.

Sebelum 1 Julai 2017, tanda tangan pemegang kad masih boleh digunakan sekiranya mereka terlupa PIN semasa membuat transaksi. Namun, pemegang kad harus membiasakan diri dengan sistem baharu ini sebelum program kad PIN dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Julai 2017.

Kaedah penggunaan PIN ini bertujuan melindungi pengguna daripada penipuan sama ada disebabkan oleh kehilangan ataupun kecurian kad. Ini adalah kerana kedua-dua kad dan PIN diperlukan untuk pengesahan transaksi.

Sebagai langkah keselamatan, pemegang kad dinasihati supaya tidak menyimpan rekod bertulis mengenai PIN masing-masing, tidak menggunakan PIN yang mudah dikenalpasti dan tidak mendedahkan maklumat kad PIN kepada sesiapa.

Pemegang kad juga harus segera memaklumkan kepada pihak Bank sekiranya menyedari bahawa PIN sudah diketahui oleh orang lain.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan AFFINBANK di talian 03-5522 3000 atau layari www.affinbank.com.my atau www.affinislamic.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:05 AM