PELANGGAN baharu dan sedia ada boleh memohon Affin Avance dengan memenuhi satu daripada tiga kriteria yang ditetapkan.
PELANGGAN baharu dan sedia ada boleh memohon Affin Avance dengan memenuhi satu daripada tiga kriteria yang ditetapkan.

AFFIN Bank Bhd (AFFINBANK) memperkenalkan segmen perancangan kewangan dan kekayaan terbaharu, Affin Avance yang menawarkan ganjaran unik kepada golongan profesional mewah dalam era teknologi masa kini.

Avance berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud maju atau mara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pelanggan baharu dan sedia ada boleh memohon Affin Avance dengan memenuhi satu daripada tiga kriteria iaitu memperoleh gaji bulanan minimum RM7,000; mempunyai jumlah Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) dengan pihak bank pada kadar minimum RM50,000 atau melalui keahlian badan profesional.

"Antara faedah yang ditawarkan ialah kad kredit/Kredit-i Affin Avance dengan pengecualian yuran tahunan seumur hidup, tiga kali mata ganjaran Affin untuk perbelanjaan di restoran terpilih dan satu kali ganjaran Affin untuk pembelian runcit lain, tiga kali mata ganjaran Affin untuk transaksi berkaitan badan profesional dan pelan ansuran mudah pada kadar faedah sifar peratus dengan tempoh maksimum 24 bulan bagi perbelanjaan minimum RM3,000 dalam satu resit.

"Selain itu, pelanggan juga akan memiliki akaun berfaedah (Affin Avance Savvy /Savvy-i) yang turut dilengkapi Kad Debit /Debit-i Visa supaya pelanggan boleh menikmati kadar faedah yang unik sehingga 1.25 peratus setahun bergantung kepada perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, pelanggan juga akan menerima perkhidmatan perunding kewangan peribadi untuk rundingan kewangan, kemas kini pasaran dan penawaran produk serta kadar faedah/keuntungan istimewa bagi pelbagai produk bank termasuklah kemudahan overdraf, gadai janji, sewa beli dan unit amanah untuk memenuhi keperluan kewangan dan perancangan persaraan.

"Memandangkan semakin ramai dalam kalangan segmen ini mempunyai kesedaran tinggi mengenai kepentingan perancangan kewangan dan persaraan, ini masa yang tepat untuk memperkenalkan Affin Avance bagi memenuhi keperluan kewangan mereka serta menjadikan perancangan persaraan yang lebih mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 7:20 AM