PEMAIN Johor DT meraikan gol ketiga ketika menentang Felda United.
PEMAIN Johor DT meraikan gol ketiga ketika menentang Felda United.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Maran: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) semakin menghampiri untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat musim ketiga berturut-turut selepas membenam FELDA United dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.

Pasukan Harimau Selatan itu kini mengumpul 49 mata selepas 19 perlawanan - tujuh mata mengatasi FELDA dengan yang mempunyai 42 mata.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan saling mengasak untuk menjaringkan gol awal dalam usaha memperoleh kedudukan selesa.

Ketua pasukan Johor DT, Safiq Rahim hampir membuka jaringan untuk pasukan pelawat namun sepakan percuma pada minit keempat terkena palang ketika penjaga gol FELDA Mohd Farizal Harun sudah tertewas.

Selang dua minit kemudiannya, Juan Martin Lucero pula hampir menjaringkan gol namun percubaannya diselamatkan Gilberto Carlos Marangoni di tengah garisan gol.

Serangan bertali arus Johor DT itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 apabila pemain gantian, Mohd Amri Yahyah merembat masuk selepas sepakan awal Pereyra Diaz terkena pertahanan lawan.

Pada minit ke-35, Johor DT dianugerahkan sepakan penalti selepas pertahanan FELDA Nor Fazly Alias mengasari Amri dan Lucero berjaya menyempurnakannya.

Selang dua minit kemudian, FELDA memperoleh gol pertama menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti oleh Muhammad Syahid Zaidon yang seolah-olah memberi semangat kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Gol penyamaan dinantikan FELDA akhirnya tiba pada minit ke-44 apabila Mohd Hadin Azman mudah menolak masuk hantaran Zahrahan Krangar.

Berlaku kekecohan pada penghujung separuh masa pertama apabila pemain Johor DT mendakwa sepakan Diaz sudah melepasi garisan gol namun tidak disahkan pengadil.

Memasuki babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan serta aksi kasar yang akhirnya menyebabkan Nor Fazly dibuang padang pada minit ke-58 selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Diaz.

Kelebihan menentang 10 pemain itu dimanfaatkan Johor DT yang memperoleh gol kemenangan menerusi bekas pemain kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak pada minit ke 59.

Gol berpunca menerusi gerakan cantik Diaz yang membuat hantaran kepada Aidil yang tenang menewaskan Mohd Farizal.

Bermain dengan 10 pemain, FELDA gagal menyaingi Johor DT dengan keputusan kekal 2-3 sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:42 AM