Salmah Isa, 47, membalut luka pada kaki suaminya Ibrahim Nor, 58, yang cedera akibat dibaham buaya di pinggir Sungai Gong Ketereh, Tok Ajam, Ahad lalu. - Foto Bernama
Salmah Isa, 47, membalut luka pada kaki suaminya Ibrahim Nor, 58, yang cedera akibat dibaham buaya di pinggir Sungai Gong Ketereh, Tok Ajam, Ahad lalu. - Foto Bernama
BERNAMA

Pasir Puteh: Seorang tukang perabot nyaris maut selepas diserang buaya ketika membersihkan jala di tepi Sungai Gong Ketereh, di sini.

Ibrahim Nor, 58, berkata dalam kejadian 10.30 malam Ahad lalu, dia bersama tiga rakan membersihkan sampah pada jala selepas menjala udang galah di sungai berkenaan.

"Tiba-tiba lutut dan betis saya digigit buaya. Selepas bergelut seketika, saya dapat melepaskan diri dan naik ke tebing," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tualang Rendah di sini, hari ini.

Ibrahim berkata tiga rakan membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis di sini.

Akibat kejadian itu, dia cedera di paha, betis dan lutut kiri sepanjang kira-kira 20 sentimeter akibat gigitan reptilia itu.

Ibrahim berkata, dia tahun sungai berkenaan ada buaya kerana sebelum ini penduduk pernah melihatnya namun tidak menyerang mereka.

"Saya menangkap udang galah di sungai ini sejak 12 tahun lalu namun tidak pernah diserang buaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata pasukan peninjau jabatan itu akan dihantar ke lokasi kejadian untuk menangkap buaya berkenaan.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil dan segera melaporkan kepada Perhilitan jika terserempak dengan buaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 7:52 PM