KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najumuddin Mohd. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najumuddin Mohd. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun berkumpulan serta menculik seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Sabtu lalu.

Kanak-kanak lelaki dan kenderaan BMW 740i itu dilarikan di Jalan Beringin, Taman Melodies di sini, pada jam 4.59 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kenderaan terbabit dilarikan dua orang suspek yang belum dapat dikenalpasti.

Beliau berkata, ketika kenderaan dilarikan, seorang kanak-kanak turut berada dalam kenderaan terbabit.

Menurut beliau, kira-kira tujuh jam kemudian, pihaknya menerima maklumat penemuan seorang kanak-kanak dipercayai mangsa di kawasan Taman Permainan Kanak-kanak di Danga Bay di sini, pada jam 12 tengah malam.

"Kanak-kanak itu ditemui orang awam, jam 12 tengah malam kelmarin sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditemui selamat dipercayai selepas ditinggalkan oleh suspek," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, semalam, kenderaan yang dilarikan suspek itu pula ditemui dalam keadaan baik di kawasan Jalan Impian Emas 5/1, Taman Impian Emas, Skudai di sini, dipercayai ditinggalkan suspek.

"Polis sedang memburu kedua-dua suspek bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata dan Seksyen 363 kanun sama kerana menculik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 4:53 PM