ZAHIRIL dibekalkan alat bantuan pendengaran untuk hidupkan karakter.
ZAHIRIL dibekalkan alat bantuan pendengaran untuk hidupkan karakter.
Syanty Octavia Amry


Sekian lama berharap, Zahiril Adzim akhirnya dapat merealisasikan impian bergandingan dengan Sharifah Amani menerusi filem Pekak.

Banyak cabaran dihadapi pelakon berbakat besar ini namun berkat bantuan Khairul Azri selaku pengarah, penggambaran berjalan lancar.

Malah, bagi mendalami watak dibawa, Zahiril mendapat tunjuk ajar bapanya yang bertugas sebagai guru pendidikan khas.

“Saya teruja menjadi sebahagian daripada produksi ini. Selain bergandingan dengan Amani, saya dapat melakukan perkara yang jarang saya buat sebelum ini.

“Watak lelaki bisu dan pekak bernama Uda cabaran besar buat saya. Bukan mudah namun syukur ia berjaya dilakukan.

“Banyak perkara baru yang saya belajar mengenai golongan kurang upaya. Barulah saya tahu mereka juga ada kelebihan seperti kita,” katanya.

Kata Zahiril lagi, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah menjayakan babak tidak berdialog.

Tegasnya, dialog penting bagi pelakon untuk menyelamatkan diri ketika beraksi depan kamera.

“Berdasarkan pengalaman saya, lebih mudah melakonkan babak yang ada dialog berbanding tiada dialog.

“Apabila tiada dialog saya perlu bijak bermain dengan emosi bagi memastikan watak tidak nampak kaku atau pelik,” katanya.

Berkongsi pengalaman menghidupkan karakter jejaka pekak dan bisu, Zahiril berkata, pengarah memberinya alat bantuan pendengaran ketika penggambaran.

“Alat itu mengeluarkan satu jenis bunyi saja. Memang kadangkala bunyinya nyaring namun syukur tidak tinggalkan apa-apa kesan kepada pendengaran saya,” katanya.

Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures bakal menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 1 September ini.

Selain sibuk mempromosikan filem Pekak, Zahiril terikat dengan penggambaran One Two Jaga terbitan Suhan Movies.

“Saya teruja kerana buat pertama kalinya filem bercorak kepolisan ini mendapat sokongan penuh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Filem ini mengisahkan gejala jenayah dalam kalangan polis. Jarang filem tempatan mengetengahkan isu sebegini.

“PDRM banyak memberi pandangan dan idea apa yang boleh dan tidak untuk dipaparkan. Saya melakonkan watak anggota polis dan seronok mendapat bimbingan PDRM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:46 AM