Rio de Janeiro: Lapan tahun selepas menjadi pembawa bendera di upacara pembukaan Olimpik Beijing, Azizulhasni Awang (gambar) akhirnya memenuhi impian dengan memenangi pingat pertama Malaysia dalam acara basikal trek semalam.

Azizulhasni yang diberi gelaran ‘pocket rocket’ kerana bertubuh kecil, menduduki tangga ketiga dalam acara keirin lelaki di Olimpik Rio bagi meraih gangsa untuk negara yang kurang dikenali dalam sukan yang dikuasai Eropah dan Australia itu.

Selepas kekecewaan di London dan Beijing, pelumba berusia 28 tahun itu yang mengalami kecederaan teruk pada 2011 apabila kakinya tertusuk serpihan kayu menamatkan perlumbaan di belakang Matthijs Buchli dari Belanda yang dimenangi bintang Britain Jason Kenny.

“Ia memberi banyak makna. Kami menantikan pingat Olimpik acara berbasikal sejak sekian lama,” katanya yang tersenyum bangga selepas perlumbaan.

Azizulhasni mula berminat dalam sukan berbasikal selepas menunggang basikal bukit bersama abangnya mengelilingi perkampungan nelayan di Terengganu. Dia menceburi sukan basikal trek ketika berusia 16 tahun apabila bakatnya dikesan dalam satu perlumbaan di Kuala Lumpur.

“Ia perlumbaan pertama saya. Saya tidak pernah berlatih, tidak pernah menggunakan basikal trek,” kata Azizulhasni. Dia menang dalam perlumbaan yang turut membabitkan pelumba kebangsaan.

Jurulatih yang memerhatikan bakat Azizulhasni, menasihatkannya supaya berlatih di Kuala Lumpur. Ketika berusia 18 tahun, dia terus mempamerkan potensinya dan kemudian berpeluang berlatih di Australia.

Ia keputusan yang amat sukar.

“Saya menyayangi negara saya, tapi sebagai pelumba profesional, saya terpaksa meninggalkan keluarga, kawan-kawan dan menetap di Melbourne,” katanya.

Azizulhasni berharap kejayaan yang dicapai dalam acara basikal trek akan menyuntik minat ramai orang serta dapat menarik lebih banyak pelaburan ke dalam sukan itu.

“Sukan basikal trek bukan sukan yang besar di Malaysia. Kami hanya memiliki dua velodrome, satu sudah rosak dan satu lagi akan dirobohkan,” kata Azizulhasni.

Namun, dia memaklumkan velodrome tertutup baru bakal siap dibina tahun ini.

“Selepas kami mempunyai velodrome tertutup yang baru, saya berharap saya boleh meluangkan masa di Kuala Lumpur bila musim perlumbaan berehat.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 10:56 AM