Pokok 'sacha inchi' atau nama saintifiknya 'plukenetia volubilis' bakal menjadi tanaman sampingan peserta RISDA. - Foto Wikipedia
Pokok 'sacha inchi' atau nama saintifiknya 'plukenetia volubilis' bakal menjadi tanaman sampingan peserta RISDA. - Foto Wikipedia
BERNAMA

Ipoh: Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bakal menjadi perintis penanaman pokok 'sacha inchi' atau nama saintifiknya 'plukenetia volubilis' iaitu tumbuhan herba bagi membantu pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RSDA) menambah pendapatan.

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sebagai permulaan, RM300,000 diperuntukkan untuk membekalkan 10 benih pokok kepada pekebun kecil menanam pokok itu di halaman rumah masing-masing.

Beliau berkata pihaknya sudah menjalankan kajian serta meneliti khasiat pokok itu daripada sudut kesihatan, termasuk kaya dengan Omega 3, 6 dan 9 sekali gus mampu memberi pulangan lumayan kepada pekebun kecil RISDA.

“Pokok itu yang diimport dari Thailand akan mengeluarkan hasil selepas lapan bulan penanaman dan mampu bertahan sehingga 20 tahun.

“Permintaan terhadap herba ini terutama untuk produk kesihatan, kecantikan dan minyak sangat tinggi di peringkat antarabangsa," katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Amalan Pertanian Baik peringkat RISDA negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata selain pokok 'sacha inchi', pokok guarana dan pokok serai akan dijadikan tanaman baru bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas berikutan ketidakstabilan harga komoditi.

Beliau berkata RISDA menyasar purata pendapatan pesertanya meningkat kepada RM4,000 sebulan menjelang 2020.

"Sasaran itu diyakini dapat dicapai jika peserta mengikut strategi disusun RISDA dengan menjadikan pokok lain sebagai tanaman baru selain getah bagi meningkatkan pendapatan," katanya.

Ketika kini terdapat kira-kira 530,000 pekebun kecil RISDA di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 8:05 PM