Khairy (dua dari kiri) meraikan kemenangan kontinjen Sarawak menjuarai Sukan Paralimpiad 2016. FOTO NSTP/CHE RANI CHE DIN.
Khairy (dua dari kiri) meraikan kemenangan kontinjen Sarawak menjuarai Sukan Paralimpiad 2016. FOTO NSTP/CHE RANI CHE DIN.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Pencapaian atlet paralimpik diiktiraf dengan pemberian ganjaran yang sama dengan atlet normal bagi setiap pingat dalam penyertaan sukan di peringkat dunia.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sejak tiga tahun lalu atlet paralimpik yang berjaya meraih kejayaan di pertandingan peringkat dunia dan olimpik akan menerima ganjaran sama jumlahnya dengan atlet normal, berbanding hanya 30 peratus sebelum ini.

"Kita tidak membezakan atlet normal dengan atlet istimewa kerana kejayaan mereka sama-sama melonjakkan nama negara.

"Justeru, atlet kurang upaya yang terpilih mewakili negara pada Paralimpik Rio 2016, bulan depan harus berjuang habis-habisan untuk meraih pingat emas pertama untuk negara, sama seperti yang disasarkan atlet normal di Olimpik Rio, ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penutupan Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 (SUKMA XVIII) Sarawak 2016 di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.

Khairy berkata, semangat semua atlet kini semakin melonjak untuk memburu pingat seterusnya selepas kejayaan Pandelela Rinong dan Cheong Joon Hoong meraih pingat pertama, awal pagi semalam.

"Saya juga mahu atlet istimewa yang akan menyertai Paralimpik Rio bulan depan menetapkan sasaran untuk meraih kejayaan buat negara," katanya.

Sukan Paralimpiad Malaysia XVIII yang berlangsung sejak 6 Ogos lalu dimenangi tuan rumah, Sarawak yang meraih 84 pingat emas, 63 perak dan 73 gangsa.

Tempat kedua diraih Johor yang memperolehi 35 pingat emas, 25 pingat perak dan 15 gangsa manakala tempat Terengganu berjaya menduduki tempat ketiga dengan 30 emas, 25 perak dan 19 gangsa.

Pada majlis itu, Khairy turut menyampaikan Anugerah Atlet Terbaik Paralimpiad kepada perenang Selangor, Lim Carmen untuk kategori wanita manakala kategori lelaki dianugerahkan kepada perenang Pulau Pinang, Yoong Chung Wei.

Seramai 1,407 atlet menyertai Sukan Paralimpiad Malaysia XVIII membabitkan sembilan jenis sukan yang dipertandingkan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, angkat berat, memanah, catur dan boling padang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 11:26 PM