DATUK Seri Megat D Shahriman. FOTO Owee Ah Chun
DATUK Seri Megat D Shahriman. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pesiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mempunyai formula dalam usaha memastikan sasaran tiga emas berjaya diraih oleh atlet paralimpik.

Beliau berkata, walaupun tanggungjawab itu secara umumnya dilihat akan membebankan kontinjen paralimpik negara, ia tidak menjejaskan fokus atlet untuk beraksi cemerlang pada kejohanan itu.

"Secara umumnya jika lihat mungkin akan membebankan namun saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara terbabit dan mahu fokus kepada persediaan atlet.

"Saya mempunyai formula sendiri terutama sentiasa memastikan kerjasama erat antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam merencanakan strategi," katanya.

Terdahulu, kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diletakkan sasaran untuk memenangi tiga pingat emas sekali gus mengulangi pencapaian dilakar lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016.

Lima atlet iaitu dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badmiton para, Cheah Leik Hou; atlet memanah, S Suresh dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin antara yang dilihat berpotensi bagi merealisasikan sasaran berkenaan di Tokyo nanti.

Sebagai rekod, pada edisi Rio 2016, kontinjen para negara berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.

Emas disumbangkan Ziyad dalam acara lontar peluru (T20/F20), Abdul Latif (lompat jauh T20/F20) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter T36/F36) manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20/F20).

Malaysia yang mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 sudah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:28 PM