ZOU, Yingying antara selebriti terkenal di China.
ZOU, Yingying antara selebriti terkenal di China.
YINGYING fasih berbahasa Inggeris.
YINGYING fasih berbahasa Inggeris.
PASANGAN romantis yang sentiasa jadi perhatian.
PASANGAN romantis yang sentiasa jadi perhatian.
ZOU julang imej China dalam sukan tinju.
ZOU julang imej China dalam sukan tinju.

Di belakang setiap lelaki yang berjaya pasti berdiri seorang wanita hebat. Ia diakui sendiri oleh pemenang dua pingat emas Olimpik tinju light flyweight, Zou Shiming yang mengahwini, Ren Yingying yang cantik jelita.

Zou menyifatkan ikatan perkahwinan mereka lebih daripada ikatan perkahwinan yang suci dan Yingying nadi serta kunci setiap kejayaannya.

Di sebalik tabir kejayaan Zou, Yingying memainkan peranan penting apabila menguruskan segala perihal berkaitan suaminya itu termasuk menjadi penasihat kewangan, penterjemah dan rakan kongsi.

Tidak hairanlah jika mereka turut dikenali sebagai antara pasangan selebriti paling terkenal di China.

Jika Zou, 32, berjaya dalam karier profesionalnya, ia memberi makna yang begitu besar buat Yingying yang sanggup mengorbankan kariernya sebagai pembaca berita televisyen yang semakin menyinar semata-mata mahu membantu suaminya itu memenuhi impian untuk berjaya sebagai seorang peninju profesional.

Impian Zou itu membawa mereka ke Los Angeles dan Zou kini berlatih di bawah bimbingan legenda terkemuka Freddie Roach yang turut melatih peninju popular seperti Amir Khan dan Manny Pacquiao.

"Saya sentiasa memberi sokongan padu terhadap apa yang ingin dilakukan suami. Saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab dan gembira melakukan setiap perkara demi kerjayanya," kata Yingying.

Manakala bagi Zou, kehadiran isterinya itu cukup bermakna dan jika Yingying tiada di samping sukar baginya melakarkan kejayaan menjadi peninju ternama termasuk merangkul dua pingat emas Olimpik.

"Isteri saya seorang penyokong yang hebat biarpun dia tidak berada bersama saya. Dipisahkan oleh lautan kerana tuntutan kerjaya, dialah yang mengambil alih tugas menjaga keluarga. Apa yang perlu saya lakukan adalah memberi fokus kepada setiap perlawanan.

"Menang setiap pertarungan hadiah terbaik untuk isteri saya sebagai ganjaran atas sokongannya," katanya.

Yingying, 31, berasal dari wilayah Guizhou sama seperti Zou. Dia turut mempunyai karier yang hebat apabila memenangi pertandingan dan mewakili bandar Zunyi sebagai duta bandar itu.

Ditanya bagaimana dia menyesuaikan diri ketika mereka terpaksa berjauhan, Yingying berkata: "Kerana perbezaan waktu, kami biasanya berkomunikasi dengan menghantar gambar kepada satu sama lain dan saling berbalas mesej menggunakan WeChat.

"Saya tahu impian Zou untuk menjadi seorang peninju yang berjaya bukan mudah. Saya perlu berkorban dan menjaga keluarga ini dengan baik agar dia yang berada jauh tidak bimbang dan boleh memberi fokus 100 peratus terhadap perlawanan.

"Sebagai seorang isteri saya perlu membantu kariernya terutama selepas dia memilih untuk menjadi peninju profesional Januari lalu.

"Saya sentiasa meletakkannya di tempat pertama dalam setiap hal yang dilakukan termasuk mengorbankan karier sebagai seorang pembaca berita," katanya.

Namun bagi Zou terdetik sedikit rasa bersalah terhadap Ying­ying yang sentiasa membantunya untuk menyesuaikan diri di AS termasuk membeli barangan runcit dan mengajarnya asas berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Kefasihan Yingying dalam menguasai bahasa Inggeris banyak membantu suaminya yang kini mendalami bahasa antarabangsa itu.

"Saya berasa tenang berada di sampingnya ketika di Amerika. Bahasa Inggerisnya lebih baik daripada saya. Saya akan mengupah seorang guru untuk mengajar saya bahasa Inggeris satu hari nanti, untuk ketika ini biarlah Yingying menjadi guru saya dan perkara itu sebenarnya menjadikan ikatan perkahwinan kami lebih romantis," kata Zou.

Pertarungan Zou menentang Jesus Ortega menjadi tajuk utama akhbar China Julai lalu kerana dia sekali lagi membawa harapan negara tembok besar itu di Venice Cotai Arena.

Pemenang dua pingat emas itu beraksi cemerlang menewaskan peninju muda dari Mexico itu sekali gus kemenangan keduanya sejak beralih ke dunia profesional.

Zou menewaskan Ortega 59-55 dalam enam pusingan flyweight.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:03 AM