SAPOK Biki (kanan) bersama isteri dan anak menggunakan baju tertera Selamat Hari Gawai di kediamannya di Taman Unigarden, Kota Samarahan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
SAPOK Biki (kanan) bersama isteri dan anak menggunakan baju tertera Selamat Hari Gawai di kediamannya di Taman Unigarden, Kota Samarahan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


BEKAS peninju negara yang juga jurulatih skuad tinju Sarawak, Sapok Biki, 46, mengakui sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini suram kerana wabak Covid-19.

Lazimnya, setiap tahun dia bersama isteri dan dua anaknya akan pulang ke Kampung Isu, Simunjan untuk meraikan Hari Gawai bersama keluarga.

Namun, tahun ini dia memilih menyambutnya di kediamannya di Taman Unigarden, Kota Samarahan.

"Tahun ini saya menyambut Hari Gawai bersama adik-beradik dan saudara terdekat yang tinggal bersama di taman perumahan ini.

"Ini adalah disebabkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang melarang pergerakan merentasi daerah.

"Ini adalah tanggungjawab saya kerana sayangkan keluarga di kampung susulan penularan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Pemenang pingat emas acara Light Flyweight Sukan Komanwel 1998 itu berkata, kebiasaan jika balik ke kampung dia akan mengunjungi rumah saudara-maranya beramai-ramai.

Sapok berkata, Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut merencatkan persiapan 13 peninju muda Sarawak untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang ditangguhkan ke tahun hadapan.

"Semua peninju kini meneruskan latihan sendiri di rumah dengan cara latihan sendiri. Fokus latihan menjurus kepada bentuk latihan pemulihan dan meningkatkan kekuatan fizikal serta pengekalan tahap kecerdasan memandangkan latihan berat seperti latihan sparing tidak dapat dilakukan.

"Mereka mengikuti jadual yang dimuat naik ke dalam kumpulan mereka, yang kemudian diminta menghantar balik video latihan mereka lakukan. Latihan ini dilakukan dua kali sehari selama kira-kira satu jam setengah bagi setiap sesi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:17 PM