Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Episod malang menimpa jaguh negara dalam sukan campuran seni mempertahankan diri atau mixed martial arts (MMA) musim lalu, membuatkan Saiful Merican menanam tekad untuk bangkit.

Sambil menaruh harapan merampas kembali takhta gelaran dunia yang terlepas, Saiful berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya mengharungi cabaran One Fighting Championship (One FC) di Stadium Putra Bukit Jalil, pada 10 Oktober nanti.

Bukan setakat gelarannya berpindah milik kepada peninju Thailand, Kru Rong, malah dia juga terpaksa berehat hampir setahun susulan kecederaan siku kanan akibat diasak teruk lawannya itu.

Namun segala-galanya bukan penamat buat peninju berasal dari Setiu, Terengganu itu apabila bertekad kembali menebus duka dengan fokus kini menjurus kepada latihan enam jam sehari di samping rutin diet yang diakui memeritkan.

“Saya terpaksa memilih makanan sesuai dengan melupakan nasi lemak atau lauk berminyak demi mendapatkan semula berat badan ideal.

“Ini kerana saya akan bertanding dalam kategori flyweight bawah 57 kilogram (kg) tapi berat badan ketika ini sekitar 67kg dan saya perlu turun hingga 10kg dalam masa enam minggu.

“Bukan itu saja, saya juga menjalani latihan enam jam tanpa henti bagi mencari kembali stamina dan sememangnya cabaran itu getir buat saya.

“Tapi saya bersemangat kerana mempunyai motivasi dengan kelahiran cahaya mata sulung bulan lalu. Ia juga antara pembakar semangat untuk saya rampas gelaran dunia,” katanya ketika ditemui pada pelancaran MMA One FC di Bangsar Shopping Center.

Berdasarkan rekod pencapaiannya dalam One FC sejak dua tahun lalu, Saiful berjaya memenangi tiga daripada lima pertarungannya berdasarkan kiraan juri.

Menurutnya, dia enggan memikirkan soal siapakah pencabar yang bakal ditemuinya edisi kali ini sebaliknya bersedia berdepan sesiapa saja.

“Mereka (MMA) belum tentukan siapa peninju yang akan saya temui nanti. Lantaran Kru Rong tidak lagi beraksi dalam kategori ini, saya mungkin berlawan dengan pencabar lain tapi saya sudah bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:31 AM