BERNAMA

KHALID-TAHAN

AFRICAN SCAM : POLIS TAHAN SEMBILAN INDIVIDU, TERMASUK LAPAN WARGA NIGERIA DI CYBERJAYA

Kuala Lumpur: Polis menahan lapan warga Nigeria dan seorang warga tempatan di Cyberjaya kerana disyaki terbabit dalam ‘African Scam' mengakibatkan kerugian RM7.2 juta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan Twitter beliau hari ini, menyatakan tangkapan itu membabitkan dua kumpulan yang dilakukan

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK )Bukit Aman dan beliau mengucapkan syabas kepada jabatan berkenaan.

"Syabas JSJK @PDRMsia Bukit Aman tangkap sembilan orang (lapan warga Nigeria) bongkar dua kumpulan African Scam di Cyberjaya kerugian mangsa cecah RM7.2 juta. #GoPDRMGo," katanya.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita manakala warga tempatan ialah wanita.

"Mereka yang berumur 24 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi bermula 1 pagi tadi, hasil risikan selama tiga bulan lepas susulan permohonan bantuan dan kerjasama Australian Federal Police (AFP) bagi menyiasat pengaliran wang keluar masuk dari Australia ke Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah lapan kad ATM, 16 telefon bimbit, empat unit komputer riba dan sebuah kereta jenis Toyota Lexus.

"Modus operandi 'African Scam' ialah mereka mencari mangsa di laman sosial seperti Facebook menggunakan identiti palsu untuk menarik perhatian.

"Mangsa dijanjikan hadiah dan wang tunai yang banyak sebagai tanda persahabatan sebelum meminta wang secara berperingkat bagi menebus hadiah atau bungkusan," katanya.

Beliau berkata 1,106 kes penipuan African Scam membabitkan kerugian lebih RM44 juta dicatat dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:02 PM