Antara barangan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menahan lima individu termasuk seorang wanita tempatan disyaki terbabit dalam kes penipuan parcel membabitkan kerugian RM950,000 hasil serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek terbabit ditahan menerusi operasi dijalankan di Jalan Klang Lama, Damansara dan Cyberjaya.

Katanya, hasil penahanan suspek, polis merampas empat kereta pelbagai model, 13 telefon bimbit, enam komputer riba, empat buku bank dan enam kad mesin juruwang automatik (ATM).

"Mereka ditahan terdiri daripada empat lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 28 hingga 40 tahun.

"Hasil penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 43 kes penipuan 'Parcel Scam' membabitkan kerugian RM950,000," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Acryl berkata, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, pihaknya menyiasat 581 kes penipuan parcel atau 'Romance Scam' membabitkan kerugian RM23.6 juta.

Katanya, siasatan mendapati sindiket menggunakan rangkaian internet terutamanya laman sosial untuk berkenalan dan seterusnya memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang kepada mereka.

"Oleh itu, polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket ini dan sekiranya berhubung dengan rakan di media sosial atau internet pastikan mereka benar-benar wujud sebelum membuat sebarang transaksi kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 2:17 PM