SETIAP satu lauk disusun kemas dalam daun pisang.
SETIAP satu lauk disusun kemas dalam daun pisang.
Kusyi Hirdan


Seri Murniyati Murni, 55, berasal dari Medan, Indonesia menyediakan nasi ambeng, khas buat Harian Metro baru-baru ini. Kami menikmati makan tengah hari yang istimewa itu di bandar Taiping, tempat wanita itu tinggal.

Ada rakan penulis yang pernah membeli nasi ambeng di pasar malam untuk mencubanya. Apabila diberitahu lauk-pauk dan mi perlu dicampur semua, mereka rasa pelik. Bermakna itulah pengalaman pertama mereka mencuba nasi ambeng.

Pengalaman penulis sendiri dengan nasi ambeng tidak sebanyak mana. Pernah mendengar cerita daripada rakan yang terkejut pertama kali dijamu nasi ambeng di rumah dia kunjungi. Cerita yang lain pula daripada mereka yang biasa makan nasi ambeng walaupun bukan keturunan Jawa. Juga cerita rakan keturunan Jawa sendiri mengenai nasi ambeng dalam keluarga mereka.

Selalunya ia cerita mengenai istimewa nasi itu dan betapa ia membangkit kemeriahan dan sepakat warga kampung.

Majikan Seri selama kira-kira 22 tahun, Raja Rahmah Raja Yaacob asalnya berkongsi cerita mengenai Seri yang menyediakan nasi ambeng di laman sosialnya dengan berkongsi gambar menarik membuatkan ramai teruja melihatnya termasuk penulis.

“Sebenarnya di kampung saya, nasi ambeng sesuatu yang sangat biasa. Semua acara istimewa sentiasa ada nasi ambeng. Kenduri, sambutan kelahiran bayi, majlis kahwin dan macam-macam lagi acara. Tradisi menggunakan daun pisang juga masih diamalkan. Ia satu kebiasaan. Baru-baru ini saja saya membuatnya ketika menyambut ulang tahun kelahiran majikan saya,” katanya.

Nasi ambeng membawa Seri mengimbau kenangan di kampung halamannya. Dia bercerita suasana kenduri-kendara di sana meriah apabila nasi ambeng dihidangkan.

“Yang tidak ada hari ini ialah ikan kering goreng tepung dan juga serunding kelapa,” ujar Seri merujuk hidangan yang disajikannya hari itu.

Ini kerana dia tidak sempat membuat persiapan lengkap memandangkan kami sendiri amat suntuk memberitahu kedatangan hari itu.

Dalam masa yang suntuk Seri berusaha mencari daun pisang, menjemurnya terlebih dulu kemudian membentuknya seumpama mangkuk. Menyediakan nasi putih, mi goreng, ayam masak kicap, peyek, sayur tempe bersama suhun dan sayur campur. Semuanya sedap-sedap belaka!

Pesan kami supaya Seri jangan mengisi lagi lauk-pauk itu kerana mahu melakukannya bersama-sama. Wanita yang handal memasak ini mengakui walaupun di Malaysia ada ramai orang Jawa, masih ramai orang Melayu yang tidak tahu mengenai nasi ambeng atau pernah memakannya.

“Ada yang rasa aneh kerana perlu makan dengan lauk yang dicampur malah ada yang mencampurkannya dengan mi. Ada banyak cara nasi ambeng dihidangkan. Saya suka setiap lauk-pauk diasingkan. Senang hendak makan dan teratur. Namun, ada juga yang mencampurkannya semua sekali. Bagi orang di sini, mereka tak biasa tetapi bagi orang Jawa, ia satu kebiasaan,” katanya.

Berapa banyak lauk yang boleh dibuat untuk hidangan nasi ambeng?

“Sebanyak mana pun boleh ikut kemampuan tuan rumah. Ada dua cara tetamu menikmati nasi ambeng. Pertama, mereka makan bersama-sama tetamu lain di rumah kenduri itu.

“Kedua, tuan rumah menyediakan satu lagi daun atau bekas, diberikan kepada setiap tetamu dan masing-masing mengambil bahagian mereka, membungkusnya untuk dibawa pulang dan makan di rumah bersama keluarga sendiri.

“Ada juga yang mengamalkan kedua-dua cara ini. Satu dulang pula biasanya cukup dimakan bersama lima atau enam orang,” katanya.

Anda tidak pernah merasa nasi ambeng? Mungkin sudah tiba masanya anda mencuba. Ini kerana masyarakat keturunan Jawa tidak kurang ramainya di Malaysia terutama di Johor dan Selangor. Rasai sendiri keunikan nasi ini juga kebaikan cara penghidangannya.

Juadah Jawa istimewa ini sering disajikan di majlis kenduri-kendara kemasyarakatan. Ia dihidangkan dalam dulang sederhana besar. Setiap satu lauk disusun kemas di dalam bekas daun pisang. Nasi diletakkan di tengah manakala lauk-pauk diletak sekelilingnya.

Melihat ia dihidangkan sebegitu memang menarik hati sekali gus menambat selera. Namun ada kebaikan yang perlu kita dapati daripada corak penghidangan ini. Tampak memberi impak sama rata dan juga mahu merapatkan hubungan. Ia umpama simbolik kesamarataan, keadilan dan merendah diri. Semua orang makan bersama tanpa mengira darjat atau status. Rezeki yang ada dikongsi sama rata. Tidak dibeza-beza.

Berkongsi makanan ketika menikmati nasi ambeng memang lain rasanya. Dulangnya yang kecil berbeza dengan kebiasaan kita yang berkongsi meja. Kadang-kadang, walaupun berkongsi semeja pada majlis kenduri-kendara, kita tidak bertegur sapa, sekadar melempar senyum. Kemudian masing-masing teruskan makan.

Apabila berkongsi dulang sekecil itu, nasinya pula di tengah-tengah, tidak dapat tidak, kita akan saling bertegur sapa. Yang sudah kenal dieratkan lagi. Yang belum, mula terjalin perkenalan.

Keunikan dan kebaikan nasi ambeng diharap tidak dilupakan ataupun dipermodenkan mengikut perubahan masa. Biarlah ia kekal unik dengan cara asalnya dan juga menjalankan fungsinya sebagai wadah mengukuhkan silaturahim.

Tradisi yang sedia elok tidak usah diganggu dengan kemodenan yang kelak menghilangkan ciri indahnya. Yang indah biar kekal indah. Mungkin, bagi yang bukan berketurunan Jawa boleh mencuba mengadakan kenduri-kendara di rumah dengan menyajikan nasi ambeng. Apa salahnya?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 5:23 AM