GUAN Eng mengumumkan pembatalan cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri.
GUAN Eng mengumumkan pembatalan cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri.
Nasharuddin Muhammad

Akhirnya cadangan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tidak jadi diteruskan selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkannya secara rasmi, semalam.

Tindakan itu dilakukan DAP, khususnya Guan Eng selepas cadangan beliau itu tidak mendapat sokongan parti sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum itu meminta membuat kajian terlebih dulu cadangan itu hingga pada satu ketika menyebabkan DAP seolah-olah naik angin dengan tindakan PKR.

Walau apapun alasan diberikan DAP dan PKR hingga menyebabkan cadangan untuk mengadakan PRN DUN Pulau Pinang itu tidak menjadi kenyataan, yang pasti ia menyerlahkan betapa kedua-dua parti itu secara khusus dan PH secara am sebenarnya memang tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan besar secara konsensus.

Justeru, tidak hairan apabila bekas sekutu DAP dan PKR sendiri dalam Pakatan Rakyat, PAS terpaksa mengambil keputusan memutuskan hubungan kerjasama politik disebabkan kegagalan mereka untuk mencapai kata sepakat membabitkan kepentingan bersama.

Dengan kegagalan terbaru DAP untuk meyakinkan sekutunya PKR hingga menyebabkan cadangan mengadakan PRN DUN Pulau Pinang lebih awal tidak menjadi kenyataan, dijangkakan kedua-dua parti itu juga sukar untuk mencapai kata sepakat membabitkan keputusan politik yang lebih besar pada masa akan datang.

Andai untuk membuat keputusan sama ada mahu membubarkan DUN atau sebaliknya pun kedua-dua parti itu gagal mencapai persetujuan bersama, apatah lagi jika mereka diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, sudah tentu lagi sukar bagi mereka untuk berbuat demikian.

Bukan untuk menidakkan keupayaan kedua-dua parti itu atau memperkecilkan hak rakyat dalam pilihan raya, namun berdasarkan rekod dan keadaan politik semasa, nyata gabungan itu bersama satu lagi parti sekutu mereka, Parti Amanah Negara (PAN) masih belum memiliki ramuan yang diperlukan seperti yang ada pada Barisan Nasional (BN).

Secara umumnya, untuk menjadi parti pemerintah kepada masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan budaya yang mampu hidup dalam suasana aman dan harmoni bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi untuk mampu bertahan dalam tempoh agak lama.

Dalam konteks ini, pengiktirafan harus diberikan kepada BN yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan yang mampu memimpin negara selama hampir enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya pada 1957 dan kini menjadi antara sebahagian kecil parti pengasas kemerdekaan di dunia ini yang masih kekal berkuasa.

Berbalik kepada kegagalan DAP dan PKR mencapai kata sepakat untuk mengadakan PRN DUN Pulau Pinang, antara puncanya dikatakan kegagalan mereka berhubung pembahagian kerusi untuk ditandingi. Keadaan itu sekali lagi menyerlahkan kelemahan lama mereka yang terus berulang pada pilihan raya.

Sebelum terbentuknya Pakatan Harapan secara rasmi, ketika PRN DUN Sarawak ke-11, Mei lalu, kedua-dua parti itu terpaksa bertembung sesama sendiri di beberapa kerusi menyebabkan DAP mengalami kekalahan agak teruk apabila hanya mampu menang tujuh kerusi dan hilang lima kerusi yang dimenangi pada PRN Sarawak ke-10.

Jika PH yang hanya dianggotai tiga parti pun sukar mencapai kata sepakat termasuk pembahagian kerusi dalam pilihan raya, apatah lagi andai ia dianggotai lebih banyak parti komponen seperti BN.

Penulis Pengarang Politik Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 8:52 AM