ABD Mutalib (kiri) menunjukkan produk Minuman Botani Belalai Gajah dan Teh Herba Belalai Gajah.
ABD Mutalib (kiri) menunjukkan produk Minuman Botani Belalai Gajah dan Teh Herba Belalai Gajah.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Jati Bumi Sdn Bhd, komited untuk meneroka pasaran herba di negara ini apabila menyasarkan jualan lebih 100,000 unit sebulan bagi produk Minuman Botani Belalai Gajah dan Teh Herba Belalai Gajah di bawah jenama Clinn.

Pengarah Operasinya, Abd Mutalib Abbas berkata, pihaknya adalah antara syarikat Bumiputera yang telah mendapat status BioNexus menerusi produk yang mengetengahkan herba Daun Belalai Gajah.

Katanya, kedua-dua produk itu mendapat permintaan tinggi kerana ia dihasilkan melalui penyelidikan secara klinikal.

“Setakat ini, jualan sudah mencecah 50,000 unit sebulan dan kami yakin jumlah itu akan meningkat terutama dengan promosi agresif yang kami jalankan di semua media massa.

“Kami akan memberi tumpuan terhadap pasaran Malaysia untuk tahun ini serta mengeluarkan barisan produk baharu seperti penjagaan kulit dan minuman tenaga berasaskan Daun Belalai Gajah,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat juga masih dalam peringkat praklinikal untuk mengeluarkan kapsul untuk mencegah kanser menggunakan bahan asas yang sama serta telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat kosmetik dari Korea.

Abd Mutalib berkata, produk dihasilkan syarikatnya melalui standard dan proses yang sangat teliti untuk memastikan bahannya tidak mendatangkan kesan bahaya kepada pengguna.

Beliau berkata, kajian mendapati bahawa daun itu tidak mengandungi toksik, mempunyai kandungan flavonoid yang tinggi serta mengandungi pelbagai mineral yang diperlukan oleh tubuh badan, vitamin dan asid amino.

“Kami juga masih membuka peluang untuk mereka yang berminat menjadi stokis dan pengedar. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Clinn boleh melayari www.clinnherbs.com atau hubungi talian 017-6731486, 017-6622973,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:05 AM