Khairul beri amaran menjelang aksi final 200m esok. FOTO BERNAMA
Khairul beri amaran menjelang aksi final 200m esok. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran & Ferzalfie Fauzi


Kuching: Raja pecut baru negara, Khairul Hafiz Jantan terus memperagakan aksi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak apabila berjaya memecahkan rekod temasya hari ini.

Dia berjaya memecahkan rekod 200 meter SUKMA dengan catatan 21.14s dalam saingan separuh untuk memadam rekod lama berusia 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma Sabah 2002.

Ia seakan amaran awal dari Khairul Hafiz menjelang aksi akhir 200m pada jam 9.30 pagi esok, dalam usaha untuk memecahkan rekod kebangsaan Tan Sri Dr M Jegathesan 20.92s yang dilakukan di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Satu lagi rekod temasya yang dipecahkan Khairul Hafiz bersama tiga lagi pelari pecut Melaka, Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim dan Azam Masri ialah dalam acara lari berganti 4x100m dengan catatan 38.89s.

Rekod lama milik kuartet Sabah 41.04s yang dilakukan di Sukma Terengganu pada 2008.

Semalam, atlet berusia 18 tahun itu menggegarkan arena sukan negara apabila berjaya memecahkan rekod 100m dengan catatan 10.30s (Terbuka Malaysia 1998) milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 8:44 PM