ATLET Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva (kanan) mendahului Atlet Negara, Khairul Hafiz Jantan pada Acara Pecut 100 Meter Lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Hafiz Sohaimi
ATLET Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva (kanan) mendahului Atlet Negara, Khairul Hafiz Jantan pada Acara Pecut 100 Meter Lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Hafiz Sohaimi
Aida Adilah Mat


KEJUTAN berlaku dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia apabila jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan gagal menamatkan cabaran di kedudukan podium. 

  Ketika harapan untuk menyaksikan pelari yang dikenali sebagai 'Speedy Jantan' itu melakarkan satu lagi kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pelari berusia 20 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 10.64 saat (s), jauh dari rekod kebangsaan yang dicatatnya pada 2016 di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, 2016, 10.18s.

  Emas dalam acara itu dimenangi pelari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva 10.27s yang turut diiktiraf sebagai rekod baru kejohanan.

  Perak milik Jonathan Nyepa, 10.40s dan juara bertahan, Haiqal Hanafi, 10.58s gangsa.

  Bagaimanapun menurut Khairul Hafiz, acara 100m yang berlangsung itu sepatutnya tidak diiktiraf apabila Vinoj yang berlari di lorong kelima dilihat terlebih dahulu keluar daripada blok pelepasan. 

  "Saya tak puas hati dan geram. Acara akhir itu sepatutnya 'false start'. Pelari dilorong kelima itu keluar dulu dan saya ingat pengadil akan batalkan tapi ia diteruskan juga. 

  "Nak buat macam mana, terpaksa terima. Ini satu pengalaman baru buat saya," katanya mengakui keadaan cuaca dengan keadaan trek basah serta acara akhir ditangguhkan selama lebih sejam sedikit menganggu konsentrasi pelumba. 

  Khairul bagaimanapun berpeluang menebus kekecewaan apabila turun beraksi dalam acara 200 m hari ini. Dia turut dijangka beraksi dalam acara 4x100m yang dijadualkan berlangsung pada hari Ahad. 

  Sementara itu dalam pecut wanita, Zaidatul Husniah berjaya mengekalkan rentak konsisten apabila meraih emas . 

  Selepas cemerlang di temasya Komanwel apabila mara ke saingan separuh akhir, Zaidatul Husniah yang dikenali sebagai Adik itu merekodkan 11.65s untuk pingat emas. 

  Dia menewaskan pelari Sri Lanka R M Rumeskhika Rathnayake di tempat kedua, 11.76s dan pingat gangsa milik S Komalam Shally, 11.91s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:42 PM