MAYAT mangsa bot karam dibawa menaiki kenderaan polis. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsa bot karam dibawa menaiki kenderaan polis. FOTO ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: Empat warga Indonesia maut, manakala 33 yang lain terselamat selepas bot dinaiki mereka karam kira-kira 80 meter dari pesisir Pantai Batu Layar di sini, malam tadi.

Sumber bomba berkata, empat yang maut itu membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki.

"Maklumat penuh diperoleh terdapat 37 penumpang bot dinaiki warga Indonesia dengan pecahan yang terselamat 25 lelaki dan lapan perempuan," katanya.

Katanya, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar bersama anggota keselamatan lain membantu dalam operasi itu sejurus menerima panggilan pada 11.07 malam.

Turut membantu, 12 angggota polis, 29 askar, tiga petugas hospital dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian didapati terdapat sebuah bot karam.

"Bot itu dipercayai katam pada jarak antara 60 hingga 80 meter dari persisiran pantai," katanya.

Katanya, operasi pencarian di air dilakukan pihak APMM dan persisiran pantai oleh agensi lain termasuk bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:33 AM