Ramlah Zainal


Shah Alam: Penyanyi popular Datuk Zainal Abidin mencipta sejarah apabila bakal membuat persembahan di Konsert Music For Mercy di Romane Forum, Rome, Itali, Selasa depan.

Zainal, 57, juga akan berkongsi pentas dengan penyanyi bertaraf dunia seperti Andrea Bocelli dan pemenang 16 kali Grammy Awards, David Foster dalam konsert berprestij itu.

Turut sama membuat persembahan ialah The Tenors, Elaine Paige, bintang muzikal Cat dan Evita, penyanyi muda Itali Giovanni Caccamo dan ramai lagi.

Dalam konsert itu, persembahan artis akan diiringi 80 pemuzik orkestra dari Roma United Orchestra yang diketuai pengarah muzik, Romano Musumara.

Zainal ketika ditemui berkata, pembabitannya dalam konsert itu bukan saja sebagai pengiktirafan sepanjang 35 tahun dalam kerjaya muzik, sebaliknya ia turut membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.

"Saya terima tawaran menjayakan konsert ini bukan disebabkan bayaran semata-mata, tetapi kerana ia membawa misi alam sekitar dan bertemakan kemanusiaan," katanya.

Zainal berkata, sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi, dia sudah membuat persembahan di banyak negara di dunia, tetapi konsert kali ini berbeza kerana dia membawa adab dan budaya orang Asia dan beragama Islam.

"Persembahan juga gabungan pelbagai artis lain dari pelbagai budaya dan negara yang berbeza, katanya yang akan menyampaikan tiga lagu iaitu Hijau, Arrideverci Roma (Selamat Tinggal Rome) dan Rai Uno.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 6:31 PM