Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pemandu bas ekspres yang merempuh 10 kereta dalam kemalangan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora petang semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 51 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Ng Geok Nee bagi membantu siasatan kemalangan yang menyebabkan 10 kereta dirempuh dan mengakibatkan seorang wanita cedera.

Terdahulu pemandu terbabit yang juga pemandu kedua bas ekspres yang membawa 28 penumpang dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur itu dibawa ke mahkamah dengan menaiki kenderaan polis pada 2.15 petang tadi.

Dalam kejadian 2.45 petang semalam, bas yang dipandu lelaki berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh 10 kereta di hadapannya.

Bagaiamanapun, semua penumpang dalam bas terselamat namun seorang penumpang kereta yang dirempuh mengalami kecederaan di perut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik ketika ditemui di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan selepas dia ditahan semalam mendapatinya bebas daripada pengaruh dadah.

"Pemeriksaan rekod pemandu berkenaan pula mendapati dia mempunyai sembilan saman antaranya membabitkan kesalahan melanggar had laju.

"Manakala bas yang terbabit dalam kemalangan itu mempunyai 63 saman," katanya.

Berita berkaitan:

Bas rempuh 10 kereta

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 3:50 PM
PEMANDU bas ekspres dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
PEMANDU bas ekspres dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak