SEL kanser di bahagian otak dikesan sebelum rawatan dijalankan.
SEL kanser di bahagian otak dikesan sebelum rawatan dijalankan.
SBRT menggunakan teknologi Cyberknife.
SBRT menggunakan teknologi Cyberknife.
DR Ibrahim menunjukkan skrin yang mampu menunjukkan dengan tepat kedudukan sel kanser dalam tubuh.
DR Ibrahim menunjukkan skrin yang mampu menunjukkan dengan tepat kedudukan sel kanser dalam tubuh.
Faizatul Farlin Farush Khan


Hati ialah organ yang berfungsi untuk menapis darah yang beredar di seluruh tubuh kita, menukarkan nutrien dan menyerap dadah dari laluan saluran pencernaan untuk manfaat kesihatan.

Ia juga mempunyai pelbagai fungsi penting lain antaranya menyingkirkan toksin dan sisa produk kimia daripada darah.

Oleh kerana semua darah mesti melalui hati, organ itu boleh diakses oleh sel kanser yang terdapat dalam darah.

Organ itu boleh terkesan akibat kanser yang bermula di hati atau kanser di bahagian lain tubuh yang seterusnya merebak ke hati.

Kebanyakan kanser hati adalah sekunder atau metastatik iaitu ia bermula di bahagian lain tubuh terlebih dulu.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Klinikal Onkologi Hospital Beacon Datuk Dr Ibrahim Wahid, kanser hati antara jenis kanser yang biasa berlaku di Malaysia dan Asia.

Katanya, jumlah pesakit kanser hati di negara ini agak tinggi dan ia kemungkinan berpunca daripada penularan hepatitis B dan hepatitis C akibat virus yang mudah berjangkit, seterusnya boleh menyebabkan seseorang itu menghidap kanser hati.

“Hepatitis B ialah penyakit berjangkit disebabkan virus hepatitis B (HBV) yang memberi kesan kepada hati.

“Begitu juga dengan virus hepatitis C. Ia boleh berjangkit menerusi hubungan seks, pemindahan darah atau berkongsi jarum suntikan.

“Jika dirawat awal, ia boleh mengelak risiko kanser hati tetapi mereka yang dijangkiti virus hepatitis selalunya tidak sedar kerana tidak ada simptom dan mereka tidak rasa sakit pada peringkat awal,” katanya.

Justeru, amat penting untuk seseorang bertemu pakar perubatan menjalani ujian bagi menentukan jangkitan hepatitis supaya langkah rawatan dapat dijalankan segera.

Ini kerana katanya, hepatitis boleh menyebabkan parut pada hati, cirrosis. Bagaimanapun, cirrosis juga selalunya disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan dalam jangka panjang.

“Pada awalnya, kanser hati sukar dikesan kerana ia tidak ada simptom. Seseorang rasa sihat dan tetap menjalani kehidupan seperti biasa tanpa menyedari dia menghidap kanser hati.

“Bagaimanapun, apabila kanser semakin membesar, baru timbul simptom seperti rasa sakit seolah-olah ada tangan yang menekan kuat hati mereka dan ia diregang-regangkan.

“Antara tanda lain menunjukkan hati sudah mengalami kerosakan juga apabila seseorang mengalami demam kuning, bengkak perut, bengkak kaki, sakit perut, hilang selera makan, loya dan keletihan melampau,” katanya.

Selain virus hepatitis, antara penyebab kanser hati ialah masalah hati berlemak, kerosakan hati sejak lahir, pengambilan alkohol, penyakit keturunan apabila kandungan zat besi terlalu banyak di dalam hati, merokok dan aflatoxin iaitu sejenis kulat yang mencemarkan gandum, kekacang, beras, jagung dan kacang soya.

Pada masa sama, bangsa Asia, pengguna steroid anabolik dan lelaki didapati lebih ramai mengalami kanser hati berbanding wanita.

Bagaimanapun, Dr Ibrahim yang juga mengkhusus kepada pembedahan Radiosurgery CyberKnife berkata, terdapat beberapa pilihan rawatan untuk pesakit kanser hati antaranya terapi radiasi tubuh stereotaktik (SBRT).

Menurutnya, rawatan terbaru SBRT yang dijalankan dengan penggunaan teknologi CyberKnife mampu memberi peratusan kejayaan yang tinggi bagi penghidap kanser hati tanpa kesan sampingan yang biasa berlaku dalam pembedahan serta rawatan kemoterapi.

“Ia sangat sesuai untuk mereka yang tidak mampu dari segi kekuatan tubuh bagi menjalani kemoterapi atau pembedahan terutama dalam kalangan mereka yang sudah berusia lanjut.

“Kelebihan SBRT menggunakan CyberKnife apabila ia mampu mengesan sel kanser dengan tepat dan bergerak mengikut pernafasan pesakit untuk membuat rawatan secara tepat dan berkesan, tanpa menjejaskan sel sihat.

“Teknologi canggih itu juga membolehkan pesakit menjalani rawatan intensif tanpa kesan sampingan, tanpa rasa sakit, tiada penggunaan bius, tiada pembedahan atau ubatan dan pesakit boleh pulang pada hari sama menjalani rawatan,” katanya.

Lebih menarik, menurut Dr Ibrahim, teknologi itu boleh digunakan untuk merawat kanser lain di tubuh seperti kanser otak, paru-paru dan pankreas.

Penggunaan CyberKnife membolehkan dos radiasi yang tinggi dalam tempoh singkat untuk membunuh lebih banyak sel kanser tanpa memberi kesan sampingan lain atau merosakkan tisu sihat di sekeliling kanser.

Katanya, rawatan itu dijalankan dalam tempoh satu jam setengah dan pesakit tidak perlu tinggal di hospital.

“Faktor kejayaan sehingga 95 peratus dengan penggunaan prosedur ini menyebabkan ada antara pesakit yang boleh menjalani pembedahan, memilih CyberKnife kerana melihat keberkesanan yang tinggi,” katanya.

Mengakui kos mendapatkan rawatan CyberKnife adalah tinggi, Dr Ibrahim bagaimanapun menyarankan pesakit tidak takut untuk datang bertemu doktor dan berbincang mengenai rawatan terbaik.

Katanya, pihak Hospital Beacon memiliki unit CSR yang dapat membantu pesakit kanser yang benar-benar memerlukan rawatan tetapi tidak mampu disebabkan kekangan kewangan.

Menurutnya, tahun lalu saja, pihaknya sudah membantu beberapa pesakit mendapatkan rawatan CyberKnife tanpa dikenakan sebarang bayaran dengan syarat mereka benar-benar tidak mampu.

“Kami mempunyai mesin dan kepakaran, jadi kami mahu bantu pesakit dan tidak akan menolak pesakit hanya kerana mereka tidak mempunyai wang. Sekiranya mereka mampu bayar separuh, kita akan tolong, sekiranya mereka tidak mampu bayar langsung pun kita akan tolong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 1:43 PM